USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BUAT PERSEDIAAN RAPI TANGANI ISU GANGGUAN BEKALAN AIR BERJADUAL PULAU PINANG

USM PULAU PINANG, 9 Januari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah proaktif dan membuat persediaan rapi bagi menghadapi isu gangguan bekalan air berjadual Pulau Pinang (kerja penyelenggaraan selama empat hari bermula jam 6.00 pagi esok) sejak hebahan pertama yang dikeluarkan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkenaan perkara itu.

WhatsApp Image 2024 01 09 at 13.10.31

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pihak Universiti turut menubuhkan satu Jawatankuasa Tangani Krisis Air Dalam Kampus dan mengaktifkan Bilik Gerakan yang dikoordinasikan oleh Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) USM.

Katanya, antara inisiatif yang diambil termasuk menyediakan 200 baldi dan 800 karton air mineral untuk disumbangkan kepada penghuni desasiswa termasuk rumah kediaman keluarga, pelajar kelainan upaya (PKU) dan bilik isolasi di kampus induk dan kampus cawangan yang terlibat.

WhatsApp Image 2024 01 09 at 13.10.30

“Persediaan USM bukan sekadar untuk memastikan bekalan air tetap ada untuk kegunaan dalam kampus, namun ia turut merangkumi pelbagai aspek termasuk mengambil kira proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), perkhidmatan dan juga operasi harian pentadbiran.

“Kita turut membuat hebahan berkala supaya setiap warga kampus peka dengan situasi semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi meminimumkan dan melestarikan penggunaan air dalam kampus,” ujarnya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika turun padang bagi meninjau persediaan USM dan menerima bekalan air minuman untuk kegunaan pelajar di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman; dan sebagainya.

Tambah Abdul Rahman, USM turut menyediakan lapan tangki tambahan (500 gelen) yang ditempatkan di kawasan kritikal dalam kampus induk dan sebuah tangki bergerak untuk keperluan mendesak.

WhatsApp Image 2024 01 09 at 13.10.32 2

Tambah beliau, USM turut menjalankan P&P secara dalam talian, menggalakkan pelajar untuk pulang ke kampung dan menangguhkan segala aktiviti persatuan pelajar secara fizikal bagi meminimumkan keberadaan pelajar dalam kampus.

“Kakitangan juga diberi kebenaran untuk bekerja dari rumah (kecuali petugas barisan hadapan) sepanjang tempoh gangguan bekalan air,” ujar beliau lanjut.

Dalam pada itu, selain kampus induk di Gelugor, kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal yang turut berdepan situasi sama juga menerima lapan tangki tambahan (500 gelen), selain 32 tong barrel (120 liter) yang akan ditempatkan di beberapa tandas di blok desasiswa.

“Kita telah bersedia sepenuhnya termasuk pelan kontigensi bagi menghadapi gangguan bekalan air ini yang diharapkan dapat memberi kelegaan dan membantu warga kampus dengan sebaiknya.

“Usaha dalam melakukan persediaan rapi ini dibuat secara kolektif dengan libatsama pelajar melalui MPP USM. MPP juga amat proaktif dan telah berjaya meraih pelbagai sumbangan luar untuk membantu rakan-rakan pelajar menghadapi situasi ini,” jelas beliau lanjut.

Selain MPP, kerjasama untuk berdepan gangguan bekalan air ini turut melibatkan Pejabat Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Jabatan Keselamatan, Majlis Penggawa dan sebagainya.

Antara inisiatif lain yang turut diambil termasuk menggunakan saliran air bawah tanah bagi kemudahan dan sokongan kepada jemaah di Masjid Al Malik Khalid untuk solat berjemaah dan sebagai persediaan Solat Jumaat (12 Januari 2024).

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 527

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024