SISWA-SISWI KAMPUS PESISIR USM-KLE (BELGAUM, INDIA) DEKATI MASYARAKAT BINA KEMAHIRAN ADAPTASI SITUASI SEMASA
USM-KLE, INDIA, 3 Januari 2024 – Persatuan Legacy USM-KLE IMP yang terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan Malaysia dari Program Perubatan Antarabangsa USM-KLE, Belgaum, India telah melaksanakan projek komuniti, dipanggil Projek Rahman di Ali Public School, Kampung Ankalgi, Gokak, Belagavi, Karnataka, India pada 23 Disember 2023 yang lalu.
Projek Rahman adalah salah satu program tahunan Persatuan Legacy USM-KLE IMP yang bertujuan untuk meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan berasaskan kolaborasi antara Persatuan Legacy dan Rahman Foundation, sebuah organisasi swasta yang terkenal dengan pelbagai kejayaan kesukarelawanan di seluruh negeri Karnataka, memfokuskan kepada kerja-kerja kebajikan terhadap komuniti Islam dan bukan Islam di Belgaum, India.
Sumbangan dan kepakaran yang diberikan ialah dari segi bantuan makanan, pakaian, pendidikan dan juga ubat-ubatan.
Salah satu pendekatan dalam Projek Rahman ini termasuklah melaksanakan program berasaskan perubatan seperti aktiviti kesedaran kesihatan yang mengutamakan teknik mencuci tangan dan memberus gigi dengan betul, mengecat kawasan sekolah Ali Public School demi keceriaan jangka masa panjang dan sumbangan 39 bakul makanan asas.
![]() |
![]() |
Antara matlamat persatuan adalah untuk berhubung dengan masyarakat di pelbagai tempat dan menjalankan projek amal bagi mereka yang sangat memerlukan bantuan dari pelbagai aspek.
Sejak penubuhannya, banyak projek yang berskala besar telah berjaya dilakukan di India mahupun di luar India seperti Sri Lanka, Acheh, Lombok, Angkor, Sabah dan Jakarta.
Antara yang terlibat dalam Projek Rahman ialah Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar dan keluarga yang merupakan doktor pakar serta pensyarah USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian; Dr. Abu Bakar, wakil Rahman Foundation yang juga merupakan bekas pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat USM-KLE IMP; serta Suhail dan Shoaib, dua lagi wakil Rahman Foundation.
Teks & Foto: Nur Syahfiqah Teohermie, Pengarah Projek Rahman, Persatuan The Legacy USM-KLE IMP, Belgaum, India/Unit Media dan Dokumentasi BHEPA
- Created on .
- Hits: 409