USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM GOTONG-ROYONG HUMANITIES@GAZUMBO ISLAND TINGKAT KESEDARAN, TANGGUNGJAWAB PULIHARA ALAM SEKITAR

WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.07.00

PULAU PINANG, 16 Disember 2023 – Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Alpha Industries Sdn. Bhd. telah menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan Pulau Gazumbo, Pulau Pinang pagi ini.

Program Humanities@Gazumbo Island itu ditaja sepenuhnya oleh Alpha Industries Sdn. Bhd. dan turut mendapat kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Timur Laut Pulau Pinang dan juga Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM.

Seawal jam 7.30 pagi lagi, seramai 50 orang peserta terdiri daripada Dekan, barisan pensyarah, staf pentadbiran dan pelajar PPIK serta kakitangan Alpha Industries Sdn. Bhd. telah berkumpul di pulau tersebut dengan penuh semangat untuk memulakan program gotong-royong berkenaan.  

WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.08.33   WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.09.06
     
WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.09.35   WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.13.39

Menerusi program tersebut yang tamat pada 12.00 tengah hari, sebanyak 287 kg sampah (64 beg) yang terdiri daripada bekas polistirena, cawan plastik, pinggan plastik, penyedut minuman, puntung rokok dan sebagainya telah berjaya dikumpulkan dan dihantar untuk dikitar semula.

Dekan PPIK, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong berkata program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Pusat Pengajian secara berkolaborasi dengan pihak swasta dalam memelihara dan memulihara kelestarian alam sekitar.

“Pembersihan kawasan Pulau Gazumbo diharapkan dapat menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 14 (SDG14) iaitu ‘Kehidupan di Bawah Air’ di perairan sekitarnya, di samping dapat bersama-sama menjaga keindahan dan kebersihan Pulau Pinang.

WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.10.21   WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.10.54

“Selain memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem dalam mewujudkan imej persekitaran pinggir pantai dan laut yang bersih, program ini juga dapat meningkatkan semangat gotong-royong, kerja berpasukan dan kesukarelawanan dalam kalangan peserta,” ujarnya.

Jasni turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kerjasama pihak Alpha Industries Sdn. Bhd. yang sudi bersama PPIK dan menaja program ini serta Jabatan Bomba dan CEMACS.

“Kita semua amat berharap kerjasama seumpama ini antara institusi pendidikan tinggi dan industri dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kilang Alpha Industries Sdn. Bhd., Mohd Shafiz Mohd Zaki yang juga merupakan alumni USM turut mengucapkan terima kasih kepada PPIK dan USM yang sudi berkolaborasi dalam memastikan agenda tanggungjawab sosial perusahaan (CSR) dicapai bersama.

WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.11.45   WhatsApp Image 2023 12 16 at 22.12.03

Pulau Gazumbo adalah pulau buatan kecil yang terhasil daripada lebihan tanah semasa pembinaan Jambatan Pulau Pinang, dan ia dapat dilihat oleh pengguna laluan Jambatan Pulau Pinang kerana lokasinya berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang.

Teks asal dan Foto: Khairul Aswad Abd Aziz, Ketua Penolong Pendaftar, PPIK/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 822

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024