USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH USM DIPILIH MENERIMA ANUGERAH KHAS OKU

WhatsApp Image 2023 12 19 at 11.48.50 AM

USM PULAU PINANG, 15 Disember 2023 – ‘Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian’. Ini adalah sepotong peribahasa yang biasa digunakan dalam pelbagai konteks, yang merujuk kepada keadaan yang mana sekiranya seseorang mahukan kesenangan, perlu bersusah-payah dahulu.

Mungkin peribahasa ini boleh menerangkan situasi Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Sharizal Abdul Aziz, pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia (USM).

Mohd Sharizal, 40, telah ditimpa kemalangan di premis pekerjaan 16 tahun dahulu. Kejadian tersebut telah menyebabkan beliau menjadi lumpuh separuh badan. Pada umur 24 tahun, keadaan tersebut telah membayangkan suasana masa depan yang gelap tanpa hala tuju kepadanya.

Walau bagaimanapun, keadaan tersebut serta dengan sokongan keluarga telah beransur-ansur memberi kesedaran dan kekuatan kepada beliau untuk menyumbang usaha kepada golongan ‘kurang upaya’ (OKU).

WhatsApp Image 2023 12 19 at 11.48.51 AM

Azam beliau, “Apabila menjadi seorang OKU, niat saya hanya untuk membantu golongan dan organisasi OKU, selain menjadi contoh kepada komuniti ini untuk bangkit serta membina semula kehidupan selepas ditimpa bencana."

"Selepas setahun saya terlantar atas katil sahaja akibat kemalangan tersebut, saya belajar untuk menggunakan kerusi roda dalam beberapa tahun serta memasuki kelas rehabilitasi dan terapi.

“Kemudiannya, saya belajar untuk rehabilitasi melalui aktiviti dalam air seperti berenang. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang sukan renang OKU dengan mewakili negeri bagi acara tersebut.”

"Buat masa sekarang, saya sudah boleh berjalan perlahan-lahan dengan menggunakan tongkat," kata anak jati Pulau Pinang ini di usia 40 tahun, dan menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Renang Orang Kurang Upaya Pulau Pinang.

Giat menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan OKU khususnya dalam bidang sukan renang serta pendidikan sekali gus, Mohd Sharizal telah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas OKU sempena Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Kebangsaan baru-baru ini.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri di majlis sambutan Hari OKU Kebangsaan yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching, Sarawak pada 3 Disember 2023.

Harapan beliau adalah dengan pengiktirafan ini, lebih ramai golongan OKU dan juga masyarakat akan mengambil iktibar dan sedar bahawa kumpulan sepertinya juga layak menjalani kehidupan seperti orang lain, di samping diberi peluang pekerjaan dan pendidikan.

Mohd Sharizal juga menasihatkan OKU yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar membuang stigma terhadap keadaan mereka dan berdaftar bagi memastikan mereka mendapat kemudahan yang tersedia oleh pihak kerajaan dan swasta.

Beliau seterusnya menasihati rakan-rakan OKU untuk mengetepikan perasaan malu atau hilang hala tuju dalam hidup, demi meneruskan hidup dan menjadi cemerlang serta mampu menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

Bagi Mohd Sharizal yang juga aktif dalam pertandingan reka cipta dan inovasi alat untuk OKU di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dan sebagai seorang perenang OKU yang mewakili negeri, ada benarnya peribahasa yang disebutkan di atas tadi.

Malaysia adalah antara negara yang komited untuk meratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CPRD) dengan mengkategori OKU kepada tujuh kategori utama iaitu pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan ketidakupayaan pelbagai.

Teks: Mazlan Hanafi Basharudin

  • Created on .
  • Hits: 285

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024