USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUSISDARI ANJUR PROGRAM LIBATSAMA UNIVERSITI BERSAMA KOMUNITI ORANG ASLI SIRI KE-15: PEMINDAHAN ILMU ICT DAN KEMAHIRAN

PULAU PINANG, 11 Disember 2023 – Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (KUSISDARI) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama erat Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) USM baru-baru ini telah mengadakan Program Libatsama Universiti Bersama Komuniti Orang Asli Siri ke-15 bagi Sidang Akademik 2023/2024.

WhatsApp Image 2023 12 13 at 11.04.09

Program ini telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Jernang K9, Sungkai, Perak pada 27 hingga 29 Oktober 2023.

Pengarah PTPM, merangkap Penasihat KUSISDARI Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, Program Libatsama Universiti Bersama Komuniti Orang Asli ini merupakan program tradisi KUSISDARI bersama PTPM.

Program ini berfokuskan kepada pemindahan ilmu pengetahuan tentang ICT atau lebih dikenali sebagai Student Knowledge Transfer Programme (SKTP) kepada komuniti orang asli yang berada di kawasan luar bandar.

WhatsApp Image 2023 12 13 at 11.04.09 2

“Siri 1 hingga 7 Program Libatsama Universiti Bersama Komuniti Orang Asli ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, yang mana program ini pernah memenangi Anugerah Cemerlang UCTC bagi Teknologi dan ICT pada 15 Ogos 2015,” kata Wan Ahmad Jaafar yang turut mengetuai projek tersebut.

Program Libatsama Universiti Bersama Komuniti Orang Asli ini disertai oleh 34 orang pelajar USM bersama 7 orang staf PTPM dengan mengadakan aktiviti seperti baktisiswa, sukaneka dan motivasi kepada para pelajar.

WhatsApp Image 2023 12 13 at 11.04.09 4

Menurut Yang di-Pertua KUSISDARI, Fahim Ikmal, 22, Program Libatsama Universiti Bersama Komuniti Orang Asli di SK Jernang K9 ini merupakan siri yang ke-15. Sebelum ini, KUSISDARI pernah melaksanakan program sebegini di beberapa buah sekolah orang asli di sekitar negeri Perak seperti SK RPS Pos Kemar, Gerik; SK Pos Perwor; SK Sungai Siput; dan SK RPS Banun, Gerik.

“Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memindahkan ilmu teknologi ICT dengan mengajar modul-modul aplikasi Tik Tok dan juga beberapa elemen perkomputeran kepada belia dan murid-murid orang asli.

“Program sebegini sangat memberi kesan kepada pelajar USM yang terlibat. Kehidupan yang serba sederhana orang asli dan kegigihan mereka dalam berusaha mengubah nasib keluarga sangat menyedarkan golongan mahasiswa tentang tanggungjawab membangunkan sosioekonomi untuk semua golongan masyarakat khususnya masyarakat orang asli,” kata Fahim.

WhatsApp Image 2023 12 13 at 11.04.09 1

Tambahnya lagi, walaupun hanya 22 orang pelajar sekolah dan 26 belia orang asli yang terlibat dalam program ini, namun melalui penyampaian yang holistik dan berkesan akan mampu memberi kesedaran kepada komuniti orang asli tentang kepentingan teknologi khususnya dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Pengarah Projek pada siri kali ini, Aisyah Joffre berkata, diharapkan agar program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya ilmu ICT dan kemahiran ini untuk peningkatan tahap kualiti hidup dan sosioekonomi masyarakat orang asli supaya mereka setanding dengan masyarakat luar.

“Saya juga berharap Program Libatsama Universiti Bersama Komuniti Orang Asli ini dapat menjadi pencetus aspirasi kejayaan dalam melahirkan masyarakat yang bermotivasi tinggi, intelektual dan membangun dari segi sahsiah dan modal insan.

“Kami dari KUSISDARI sangat menghargai idea asal daripada penasihat program, dalam menabur bakti kepada masyarakat seperti orang asli ini dan akan berusaha meneruskannya pada masa hadapan,” kata Aisyah.

WhatsApp Image 2023 12 13 at 11.04.09 3

Tambah Aisyah, beliau bersyukur dengan maklum balas daripada para peserta yang menganggap program ini merupakan program yang luar biasa dan wadah terbaik untuk mereka menambah ilmu pengetahuan dalam aspek teknologi dan ilmu ICT sekaligus mampu menjadi pencetus dan pemangkin kemampanan sosioekonomi di perkampungan tersebut.

  • Created on .
  • Hits: 250

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024