USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KENCING MANIS: JOM CAKNA TERHADAP DIRI SENDIRI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 11 Disember 2023 – Kencing manis atau diabetes adalah keadaan apabila paras gula atau glukosa dalam darah lebih tinggi daripada paras normal disebabkan kekurangan hormon insulin dalam badan atau peningkatan rintangan badan terhadap insulin yang dihasilkan oleh organ pankreas.

WhatsApp Image 2023 12 11 at 12.18.49

Masyarakat sering menyangka penyakit kencing manis hanya dikesan dan dihidapi oleh golongan tua atau individu obesiti (kegemukan), namun individu yang tidak bergejala tetapi mempunyai faktor genetik yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol serta sejarah kencing manis semasa mengandung adalah antara golongan berisiko tinggi.

Pegawai Perubatan Klinik Rawatan Keluarga (KRK), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nik Nurfariha Mohamed Zalami berkata, peningkatan bilangan angka bagi kes kencing manis amat membimbangkan kerana pada tahun 2019, dianggarkan hampir lima (5) juta penduduk negara ini menghidap kencing manis.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), peratusan pesakit kencing manis di Malaysia meningkat daripada 8.4 peratus (%) pada 2015 kepada 9.4% pada tahun 2019.

"Jika dinisbahkan purata mengikut etnik, kaum India menduduki carta kes kencing manis tertinggi iaitu sebanyak 31.4%, diikuti kaum Melayu 22.6% dan Cina 15.1%.

“Laporan itu juga sekaligus menunjukkan peningkatan yang ketara bagi individu dewasa berusia 25 tahun ke bawah menghidap penyakit kencing manis dan ini sangat membimbangkan," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Nik Nurfariha, saringan kencing manis boleh dilakukan dengan mengambil sampel darah pada kapilari contohnya di hujung jari.

“Sekiranya ujian dilakukan sewaktu berpuasa, nilai yang normal adalah tidak melebihi dari 5.6 mmol/L manakala jika diambil secara rawak selepas makan, ia tidak boleh lebih daripada 7.8 mmol/L.

“Sekiranya bacaan didapati abnormal, ujian lanjut seperti ujian plasma darah secara puasa (fasting plasma glucose), ujian minum air gula (oral glucose tolerance test - OGTT) atau pengambilan ‘glycosylated hemoglobin’ (Hba1c) untuk nilaian yang lebih tepat disarankan dilakukan,” ujarnya lagi.

Menurut Nik Nurfariha, antara tanda-tanda menghidap penyakit kencing manis ialah kerap minum air atau dahaga, kerap lapar, kerap buang air kecil serta cepat letih.

“Orang ramai yang mempunyai tanda-tanda tersebut dinasihatkan segera ke premis kesihatan terdekat untuk melakukan saringan kesihatan.

“Masyarakat juga digalakkan menjalani ujian saringan darah untuk kencing manis bagi mengawal paras gula dalam darah selain mengekalkan gaya hidup sihat tanpa sebarang komplikasi penyakit,” jelasnya.

Nik Nurfariha turut memaklumkan bahawa penyakit kencing manis sebenarnya mampu dikawal sendiri jika pesakit tahu strategi penjagaan kendiri.

“Ini sangat penting untuk mengekalkan hidup sihat tanpa komplikasi dan pada masa yang sama mengurangkan beban kepada sumber penjagaan kesihatan.

“Biasanya pesakit kencing manis dinasihatkan untuk mempunyai mesin memeriksa gula sendiri di rumah (glucometer) dan melakukan pemeriksaan untuk memantau tahap gula dalam badan masing-masing.

“Ini kerana berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan pengurusan kendiri pesakit kencing manis sebenarnya memberi kesan yang jauh lebih baik sekaligus dapat mengelak peningkatan dalam kos rawatan perubatan,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan kendiri merujuk kepada keupayaan individu yang mengalami kencing manis menguruskan pemeriksaan sendiri, mengenal pasti gejala yang bahaya dan boleh mengamalkan aktiviti untuk mencegah daripada mendapat komplikasi kronik seperti sakit jantung, kerosakan saraf, penyakit buah pinggang, gangguan mata atau penglihatan dan strok.

“Selain itu, ahli keluarga dan komuniti terdekat juga dinasihatkan untuk memastikan pesakit kencing manis mempunyai mekanisme tindakan keselamatan sekiranya mengalami tanda-tanda gejala hipoglisemia atau hiperglisemia.

“Gejala hipoglisemia adalah apabila gula rendah dalam darah dan biasanya bacaan gula kurang dari 3.9 mmol/L, yang mana pesakit akan mengalami rasa berdebar, berpeluh dan berasa ketar pada bahagian tangan dan kaki.

“Gejala hiperglisemia pula adalah apabila gula terlalu tinggi dalam darah dan pesakit biasanya akan kerap minum air atau dahaga, kerap membuang air kecil dan berasa cepat letih,” ulasnya lanjut.

Nik Nurfariha turut berpesan agar segera mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut di klinik atau hospital berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda menghidap kencing manis terutamanya dengan gejala hipoglisemia dan hiperglisemia.

Teks: Wan Mohd Rashidi Wan Mood/Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 285

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024