USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJAYAAN CONVEX 2023 BUKTI KEMAMPUAN PELAJAR USM ANJUR PROGRAM BERSKALA BESAR

404561634 831085878816041 1497984269424781350 n copy

USM PULAU PINANG, 9 Disember 2023 – Sekali lagi, kejayaan Ekspo Konvokesyen Universiti Sains Malaysia 2023 (ConvEx 2023) yang diadakan sempena Upacara Konvokesyen ke-61 USM pada 21 hingga 27 November 2023 yang baru berlalu, menampakkan kemampuan pelajar USM menganjurkan program berskala besar seumpama itu.

Ini turut dinyatakan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. Jegathesan Manikavasagam, dalam ucapannya ketika hadir menyempurnakan majlis perasmian ConvEx 2023 di Dewan Budaya USM pada 21 November yang lalu.

WhatsApp Image 2023 11 21 at 11.24.20 PM

“Saya amat berbangga melihat hasil titik peluh seramai 224 pelajar USM dari pelbagai jurusan dan latar belakang yang membentuk Sekretariat ConvEx 2023 yang begitu giat dan komited dalam penganjuran Ekspo Konvokesyen 2023 ini.

“Saya turut dimaklumkan bahawa barisan Sekretariat ConvEx pada tahun ini sanggup tidak pulang ke rumah sepanjang cuti semester. Mereka sanggup mengorbankan masa, wang dan tenaga demi mencipta sebuah program yang hebat di USM.

“Kerjasama dan semangat seperti inilah yang akan mencipta imej HEBAT dalam diri setiap pelajar USM,” tambah beliau.

Jegathesan juga berharap program seperti ini dapat dijalankan setiap tahun, yang secara langsung dapat membina siswa siswa USM yang holistik dan proaktif serta berdaya saing, seiring dengan moto USM ‘Kami Memimpin.’

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada penerima-penerima Anugerah Pingat Emas Utama USM sempena Upacara Konvokesyen Ke-61 USM yang turut diraikan pada majlis perasmian tersebut.

ConvEx USM pada tahun ini telah membawa tema ‘Renaissance’ yang menampilkan semangat pembaharuan atau kelahiran semula melalui idea-idea dan strategi baharu di samping menambah baik pelaksanaan sedia ada. Bak kata pepatah ‘yang lama dikelek, yang baharu didukung’.

WhatsApp Image 2023 11 21 at 11.24.19 PM

Demikian ujar Pengarah Projek ConvEx 2023, Najmi Amani Azharry, yang turut menjelaskan bahawa mereka telah memilih untuk menggunakan reka bentuk grafik ‘Art Nouveau’ yang selari dengan konsep pembaharuan Renaissance dan menggunakan elemen-elemen berunsur flora bagi menonjolkan agenda kelestarian yang menjadi dasar USM.

“Selari dengan agenda HEBAT dan motto Kami Memimpin, ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui penganjuran program ini akan melahirkan pemimpin yang mampu membawa bangsa dan negara ke arah yang lebih baik,” ujar Najmi dalam ucapannya.

Katanya lagi, “walaupun dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar, kami mendapat bimbingan dan sokongan dari pegawai-pegawai universiti, dan ini memberi peluang kepada kami untuk melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah yang amat penting dalam kehidupan kami.”

WhatsApp Image 2023 11 21 at 11.24.20 PM1

ConvEx 2023 juga berjaya menjana pendapatan sebanyak RM400 ribu melalui program-program yang telah diadakan sepanjang beberapa bulan sebelum bermulanya upacara konvokesyen.

Antara program yang diadakan itu ialah ConvEx X Bahtera Madani Food Fiesta, Thrift Town, Battle of The Bands, Zumba: K-Danceathon, We Lit 3.0: Illumiart, Colour Run: Get Fit Get Messy, dan Amir Jahari Live In Penang.

ConvEx 2023 turut mencatatkan jumlah penajaan yang tinggi iaitu sebanyak RM1.2 juta sekaligus mencatat rekod sebagai ekspo konvokesyen yang menerima sumbangan tertinggi sepanjang tempoh penganjurannya.

Turut hadir pada Perasmian ConvEx 2023 ialah Naib Canselor, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat dan Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Habibah A Wahab; dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil ConvEx 2023, Zulkifli Che Hussin.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin & Tan Ewe Hoe/Foto: Shahnizam Ab Rahim 

  • Created on .
  • Hits: 637

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024