KEM PIMPIN SISWA (LEAD) USM 2023/2024, PLATFORM MAHASISWA/I KENALI POTENSI DIRI UNTUK TEMPUHI CABARAN HIDUP, PUPUK TOLERANSI DAN PERKASA JATI DIRI
PULAU PANGKOR, PERAK, 4 Disember 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) telah menganjurkan Kem Pimpin Siswa (LEAD) baru-baru ini membabitkan seramai 561 orang mahasiswa/i SULUNG, Sidang Akademik 2023/2024 bagi ketiga-tiga kampus utama USM.
Hadir menyempurnakan program semasa siri pertama yang berlangsung di Kem Raudhah di sini pada 2-4 Disember 2023 ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin.
Dalam ucapannya, Shaharum menzahirkan ucapan tahniah kepada kesemua 120 pelajar yang hadir untuk siri pertama program ini atas kesungguhan dan komitmen dalam menggalas tanggungjawab dengan baik.
Katanya, kem tersebut merupakan platform yang amat baik untuk mahasiswa/i mengenali potensi diri untuk menempuhi cabaran kehidupan, memupuk toleransi dan memperkasa jati diri.
Bercerita lanjut mengenai kepimpinan, beliau mengimbau kenangan tatkala masih belajar suatu ketika dahulu disertakan dengan usaha yang gigih, penuh dedikasi serta sanggup menghadapi cabaran untuk terus menuju kejayaan.
“Pemimpin masa hadapan dibentuk pada hari ini. Tiada yang lama maka tiadalah yang baharu,” tambahnya lagi.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Bakat (TDC) BHEPA USM merangkap Komandan Kem, Zulkifli Che Hussin, PIMPIN SISWA LEAD (Kepimpinan-Pemerkasaan-Pendorong-Pembangunan) dibahagikan kepada 4 siri yang dibantu oleh 19 orang fasilitator pelajar dan 35 orang urusetia (pegawai dan staf) yang bertugas secara bergilir-gilir bermula pada 2-10 Disember 2023.
Ia mula diperkenalkan pada tahun 2009 dengan berkonsepkan kelestarian, dan kemudiannya modulnya diubah kepada nama World Café,' dan ditambah baik lagi pada tahun 2016 dengan memanggilnya Jamboree yang menitikberatkan perbincangan yang lebih bersifat akademik.
Fokus utama program peringkat asas lebih tertumpu kepada membina profiling, sifat patriotik dan kelestarian pelajar tahun satu dari golongan B40 (B1 dan B2) serta siswa sulung Keluarga Malaysia (SULUNG).
Ia menjurus ke arah membangunkan potensi diri pelajar melalui lima belas atribut di bawah elemen HEBAT dengan tahap pembudayaan yang melibatkan program berbentuk pengetahuan, keberanian dan kepimpinan.
Teks & Foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA
- Created on .
- Hits: 670