USM TERIMA ANUGERAH PENGHARGAAN SEMPENA 15 TAHUN ECERDC OLEH MENTERI BESAR KELANTAN
KOTA BHARU, 8 Disember 2023 – Menteri Besar Kelantan, Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menyambut baik segala inisiatif daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkaitan projek-projek pembangunan strategik dan program pembangunan modal insan yang telah dilaksanakan sepanjang 15 tahun penubuhannya bagi memajukan negeri ini.
“Saya bersyukur, hubungan baik dan kerjasama erat yang telah lama terjalin antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan ECERDC membuktikan khidmat dan komitmen padu antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Kelantan.
“Kerjasama ini diperlukan khususnya untuk memastikan rakyat Kelantan menerima manfaat dalam apa jua program dan inisiatif pembangunan sama ada yang sedang dalam pelaksanaan atau perancangan termasuklah yang masih dalam rundingan,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC di Hotel H Elite Design Tunjung, hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, sejak penubuhan ECERDC pada 15 tahun lalu, Kelantan telah menerima banyak manfaat dari segi kemasukan pelaburan, pembangunan projek-projek infrastruktur dan logistik, dan program-program pembangunan modal insan yang telah banyak membantu rakyat negeri Kelantan terutamanya golongan B40.
Mewakili USM, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran telah menerima Anugerah Penghargaan Penyedia Perkhidmatan Program YPeSkill. Turut hadir ialah Ketua Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu selaku Ketua Program tersebut, Muhamad Nur Hazim Mazlan.
Menteri Besar bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Baidzawi Che Mat menandatangani cantingan batik yang disediakan oleh peserta USM selepas gimik menconteng batik oleh kedua-dua kenamaan berkenaan.
Malah, para peserta kursus pertukangan emas dan perak daripada USM turut menyerahkan loket berbentuk logo Jata Negeri Kelantan, logo Petronas dan juga logo ECERDC kepada setiap agensi yang berkaitan sebagai tanda kenangan.
Teks & Foto: Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM
- Created on .
- Hits: 506