GRADUAN OKU PENGLIHATAN TEKAD MENGEJAR IMPIAN
USM PULAU PINANG, 1 Disember 2023 – Dilahirkan cacat penglihatan, graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris untuk Profesional), Rishan Ponraj Sivaraj, 23, berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak sesekali mengalah sepanjang pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM).
Rishan yang mempunyai masalah cacat penglihatan akibat glaukoma dan katarak sejak lahir merupakan pelajar cemerlang dalam bidang pengajiannya dan pernah memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Bacaan Braille Kategori Bahasa Inggeris peringkat Zon Utara pada bulan September yang lalu.
Menurut Rishan ketika ditemui pada Sidang Kedua belas Upacara Konvokesyen ke-61 USM baru-baru ini, sebagai seorang yang suka dan ingin merantau, dia berasa sangat teruja ketika mendapat tawaran untuk menyambung pengajiannya di USM.
Akan tetapi, Rishan hanya dapat merasai suasana belajar di kampus dan kuliah secara bersemuka selepas kebenaran rentas sempadan dengan prosedur operasi standard di tahun akhir pengajiannya berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
“Dengan teknologi masa kini, semua pembelajaran adalah secara dalam talian yang mana saya belajar melalui komputer riba atau peranti dengan alat pandu suara yang boleh memuat turun aplikasi pembaca skrin yang membaca semula ayat pada bahan bacaan.
“Walau bagaimanapun, bagi golongan senasib saya, cabaran utama yang saya hadapi ialah bahan bacaan yang mengandungi gambar rajah yang mana aplikasi berkenaan tidak mampu membacanya.
“Dengan bantuan rakan sekelas, mereka membantu saya dengan menulis semula keterangan daripada gambar rajah yang sesuai dengan keupayaan aplikasi itu,” kata Rishan.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Dengkil, Selangor itu bekata, pada masa ini dia merancang untuk mencari kerja dan mengejar impiannya untuk mengajar OKU penglihatan membaca Braille atau menjadi penterjemah buku kepada bahan bacaan tulisan berkenaan.
“Kejayaan saya pada hari ini saya ajukan kepada mendiang ayah saya, Sivaraj Ponniah yang tidak sempat meraikan kejayaan saya kerana meninggal dunia akibat serangan jantung ketika saya berada di tahun dua pengajian,” kata Rishan.
Tambah Rishan, buat rakan senasibnya yang mempunyai minat untuk belajar, jangan sesekali berputus asa dan sentiasa mencari penyelesaian sekiranya ada masalah kerana ia akan menjadi pelajaran dalam hidup yang paling berharga.
Rishan merupakan antara seramai 688 graduan menerima ijazah pada Sidang Kedua belas yang dipengerusikan Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.
Seramai 8,166 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada Sidang Pertama hingga Sidang Ketiga belas yang berlangsung pada 21 November hingga 27 November 2023 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohammad Nazer Abdul Hadi
- Created on .
- Hits: 522