USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAHUN KE-10 BERKOLABORASI, USM DAN OTH REGENSBURG TANDATANGANI MOU KETIGA

DSC 2257

USM PULAU PINANG, 1 Disember 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan OTH Regensburg (Technical University of Applied Sciences) telah meraikan satu dekad perkongsian dan kerjasama dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) ketiga antara mereka dalam majlis yang berlangsung pada 14 November yang lalu di Kulim.

Menurut Naib Presiden Kanan yang juga Pengarah Urusan Infineon Technologies (Kulim) Sdn. Bhd., Ng Kok Tiong, syarikat tersebut sentiasa menyokong secara menyeluruh usaha yang akan memberi manfaat, bukan sahaja kepada industri semikonduktur tetapi juga bakat negara di masa hadapan.

DSC 2086

“Khususnya melalui program-program yang dilaksanakan seperti program pertukaran pelajar antara kedua-dua institusi ini.”

“Kerjasama ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan di dalam industri itu sendiri, malah ia juga akan mewujudkan peluang melahirkan pelajar yang berbakat serta bersifat holistik berdasarkan kepada keperluan pasaran,” kata beliau.

“Saya berharap agar kolaborasi ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa demi membuka peluang untuk ianya berkembang dan kelak membawa manfaat kepada seluruh dunia,” tambah Ng.

Hadir mewakili Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM), Dekannya, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha berkata, pusat pengajian melalui Profesor Ir. Dr. Cheong Kuan Yew telah memanfaatkan kerjasama penyelidikan bersama OTH Regensburg sejak ianya bermula pada tahun 2013.

DSC 2232

“Sepanjang tempoh ini, kami telah berjaya menghasilkan penerbitan secara bersama berdasarkan kepada hasil penyelidikan, mobiliti pelajar dan juga mobiliti kakitangan.

“MoU ini diharap dapat menjadi landasan penerus kepada kerjasama di antara kedua belah pihak dan menyumbang kepada pembangunan bidang elektronik dan semikonduktor, khususnya di universiti kita,” kata Mariatti.

Perjanjian pertama USM-OTH Regensburg telah ditandatangani pada 17 September 2013, yang membolehkan kedua-dua universiti bukan sahaja menjalankan program pertukaran pelajar, ahli akademik dan kakitangan, malah dari segi bahan, penerbitan serta maklumat ilmiah juga.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 379

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024