USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEBERSAMAAN HPU ANTARA TUNJANG KEKUATAN SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI

8b1b2a9e 7e87 471b a9e6 9fbd2fa43915

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 November 2023 – “Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin menegaskan yang sektor pendidikan tinggi mesti bergerak sebagai satu ketumbukan yang kuat dan saling menyokong,” kata Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, perkongsian secara strategik dan berkesan tentang segala ilmu, sumber, kepakaran dan penemuan baharu harus menjadi budaya.

“Bukan sahaja dalam kalangan anggota dan warga sesebuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) atau organisasi, tetapi merentas organisasi dan lapangan.

“Bukan sahaja bersaing secara sihat dan produktif, tetapi turut mengumpul dan menggabungkan kekuatan yang ada pada semua pihak, menjadi satu kekuatan bersepadu sektor pendidikan tinggi,” katanya ketika merasmikan Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Mohamed Khaled berkata, dalam konteks bidang perubatan, KPT tidak mahu lagi membeza-bezakan kedudukan dan taraf antara hospital universiti yang ada.

“Kita tidak akan melihat Hospital USM sebagai kekuatan USM, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai kekuatan Universiti Malaya (UM) atau Hospital Canselor Tuanku Muhriz sebagai kekuatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara berasingan dan terpisah.

“Sebaliknya, semua pusat perubatan dan hospital ini adalah aset dan kekuatan bersama sektor pendidikan tinggi negara.

“Jadi, kesemua hospital dan institusi perubatan ini mesti duduk dan bergerak secara bersekali dan berlaku perkongsian sumber, kepakaran dan ilmu termasuk perkongsian sistem, pendekatan tadbir urus serta amalan terbaik,” jelasnya lagi.

93df1f69 0586 4403 b4f7 990f4db0789a

Tambah Mohamed Khaled, semua Hospital Pengajar Universiti (HPU) perlu membangun secara bersama.

“Dengan bergerak secara seiring dan bersekali, segala desakan dan tuntutan teknologi terkini, amalan terbaik serta pengaplikasian platform atau medium digital dapat dihadapi bukan sahaja secara serius, tetapi dengan lebih berkesan.

“Fokus ke arah ‘Artificial Intelligence’ atau AI dan ‘machine learning’ adalah perkara yang sudah tidak boleh dielakkan. Ledakan teknologi disruptif ini sudah menerjah masuk ke dalam segenap spektrum kehidupan termasuk dalam sektor perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan,” ujarnya.

Sambutan 40 Tahun Hospital USM diadakan bertujuan untuk menyebar maklumat tentang perkembangan Hospital USM selaras dengan objektif penubuhannya iaitu berkongsi informasi terkini mengenai pencapaian, skop dan fungsi utama Hospital USM, melestarikan pencapaian unggul dalam perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat, dan mempromosi perkhidmatan kesihatan ke arah masyarakat sihat selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Mula beroperasi sejak tahun 1983, Hospital USM sehingga kini telah melahirkan lebih 3,000 pakar perubatan rentas bidang dengan melalui pelbagai evolusi dalam melaksanakan fungsinya sebagai sebuah HPU dan menawarkan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

Sambutan ini adalah satu peristiwa untuk memperingati perjalanan kejayaan yang terlakar sepanjang empat (4) dekad penubuhannya. Tidak hanya menyaksikan perubahan dalam landskap perubatan, tetapi juga menyaksikan kisah-kisah kejayaan dan kisah penyembuhan yang menyayat hati. Setiap pesakit yang dirawat adalah sebahagian daripada kisah besar Hospital USM dalam memberikan harapan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Sebagai pelopor dalam bidang penjagaan kesihatan di negeri Kelantan, khususnya dan wilayah Pantai Timur, amnya, Hospital USM menjadi tonggak utama kesihatan masyarakat yang sentiasa memberi khidmat terbaik kepada ribuan pesakit saban tahun.

62ce8f38 75e1 40d5 b6d9 f0258b58b5ae

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPT, Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman; dan Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan 40 Tahun Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 417

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024