USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TUJUH GRADUAN USM TAMAT PENGAJIAN GENGGAM DUA IJAZAH SERENTAK

USM PULAU PINANG, 26 November 2023 - Upacara Konvokesyen ke-61 Universiti Sains Malaysia (USM) telah meraikan tujuh orang graduan yang telah menamatkan pengajian mereka dengan mengikuti program dwi-ijazah yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM.

WhatsApp Image 2023 11 25 at 17.25.00

Tujuan program ini adalah untuk membolehkan pelajar yang cemerlang dan berkemampuan untuk mengambil dua program ijazah sarjana muda yang berbeza dalam satu tempoh pengajian melalui mod sepenuh masa dan pada masa yang sama mengambil kursus secara mod jarak jauh.

Program ini bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan kepada para graduan, malah ianya juga dapat membuka pintu kepada pelbagai peluang pekerjaan yang lebih luas. Kejayaan mereka bukan sahaja mencerminkan kecekapan akademik tetapi juga keupayaan untuk berinovasi dan beradaptasi dalam persekitaran pembelajaran yang dinamik.

Mereka yang diraikan dengan menerima dua ijazah secara serentak dan menerima dua skrol berbeza bidang adalah;

1. Amirul Aiman Zulkifli - Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Muda Pengurusan

2. Goh Yew Seang - Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Muda Pengurusan

3. Muhammad A’qil Che Ibrahim - Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Muda Pengurusan

4. Muhammad Afnan Arif Mohd Amran -Sarjana Muda Sains Gunaan dan Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan

5. Jaggatharani A/P S. Shanmugam - Sarjana Muda Sains dan Sarjana Muda Sains

6. Lee Zhi Wei - Sarjana Muda Ekonomi dan Sarjana Muda Sains

7. Muhammad Nooryasin Kamaruddin - Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan Sarjana Muda Sastera

Menurut Dekan PPPJJ USM, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob, program ini tidak hanya membantu mengatasi isu kebolehpasaran di Malaysia, tetapi juga membuktikan pemerkasaan graduan dalam pasaran kerja.

WhatsApp Image 2023 11 25 at 17.24.59

“Dengan memperoleh lebih daripada satu ijazah, graduan bukan sahaja sekadar menambah koleksi ijazah mereka tetapi juga menunjukkan mereka sangat komited mencapai kecemerlangan dengan mengikuti program ini.

“Saya yakin bahawa pencapaian para graduan ini mencerminkan pengorbanan dan dedikasi yang luar biasa dalam mencapai kecemerlangan, dan ini adalah suatu perkara yang membanggakan,” katanya.

Nooryasin dalam sesi temubual berkata, dia mula tertarik untuk mengikuti program dwi-ijazah ini apabila rakan baiknya Muhammad A’qil mengajaknya untuk menambah satu lagi ijazah sarjana muda dengan tujuan untuk mempeluaskan pengetahuan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, kewujudan program dwi-ijazah ini secara tidak langsung membantu para graduan memudahkan mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Usaha mencari pekerjaan bukan hanya bergantung pada rezeki semata-mata, sebaliknya dengan kelebihan yang saya miliki telah memainkan peranan penting dalam membantu saya meraih peluang pekerjaan. Sebagai contoh, ketika menghadiri sesi temuduga dengan memiliki lebih daripada satu ijazah sarjana muda saya dapat menarik perhatian panel temuduga yang mana ianya memberikan impak yang positif terhadap pandangan majikan kepada saya,” kata Nooryasin.

Nooryasin akan bermula bekerja dengan syarikat Johor Corporation (JCorp) pada awal bulan Disember ini dan menurutnya kejayaan ini melibatkan kombinasi disiplin dan komitmen terhadap kedua-dua bidang pengajian.

Sementara itu, Lee Zhi Wei yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata minatnya terhadap subjek Matematik sejak sekolah menengah telah menjadikannya mahu menyambung pengajiannya dalam bidang matematik dan alih ke bidang perakaunan di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dan perancangan masa hadapan saya adalah untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi untuk mengambil dwi-ijazah di peringkat Doktor Falsafah (PhD),” tambah Lee.

Seramai 8,166 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada sidang pertama hingga sidang ketiga belas yang berlangsung pada 21 November hingga 27 November 2023 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM.

Pihak universiti amat berbangga dengan pencapaian ketujuh-tujuh graduan tersebut kerana berjaya meningkatkan pencapaian dengan mengenggam lebih dari satu ijazah sarjana muda.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohammad Nazer Abdul Hadi

  • Created on .
  • Hits: 1124

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024