CABARAN GETIR USM MOUNTAIN BIKE CHALLENGE
KUBANG KERIAN, KELANTAN 24 Mei 2015 - "USM Mountain Bike Challenge 2015" yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM Kampus Kesihatan dan Badang Outdoor Solutions hari ini berjaya menarik minat 150 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Sebanyak 6 kategori dipertandingkan iaitu untuk lelaki berumur 18-26 tahun yang melibatkan 8 pusingan, 27-33 tahun (5 pusingan), 34-40 tahun (8 pusingan), 41-54 tahun (5 pusingan), 55 tahun ke atas (3 pusingan) dan kategori terbuka wanita (5 pusingan).
Ketua Penolong Pendaftar (HEPA), Hafiz Assad Zakaria yang juga penyelaras pertandingan berkata, peserta-peserta yang bertanding kebanyakan adalah pelumba tempatan di samping beberapa pesaing yang datang dari negara jiran, Thailand.
Tambah Hafiz Assad, kejohanan yang julung kali dianjurkan ini bertujuan membentuk budaya hidup sihat dengan berbasikal serta merapatkan hubungan antara komuniti USM dengan masyarakat di luar kampus.
“Selaras dengan motto kejohanan ‘GO Green’, diharapkan kejohanan ini juga dapat memupuk perasaan cinta dan sayang kita dalam menghargai alam semula jadi," kata Hafiz Assad.
Menurutnya lagi, pertandingan yang bermula di Padang Golf USM dan laluan sekitar kampus ini juga menyajikan cabaran getir kepada peserta-peserta yang terpaksa mengharungi trek laluan berbukit.
Bagi Muhammad Ayub Muhammad Radzi, 20, yang mewakili Kedah, pertandingan ini benar-benar mencabar minda dan fizikalnya.
“Laluan berbukit yang curam dan jalan yang tidak rata merupakan antara halangan yang memerlukan seseorang itu memiliki daya kosentrasi yang tinggi dan penglihatan yang tajam,” katanya.
“Walaupun terlibat dalam kemalangan kecil semasa perlumbaan, saya berbangga kerana berjaya menamatkan saingan,” katanya yang menduduki tempat kedua keseluruhan.
Juara ‘USM Mountain Bike Challenge’, Mohamad Azizul Azli Shaari, menyifatkan pertandingan kali ini amat sengit dengan para pelumba terpaksa berhadapan dengan pelumba berpengalaman dari negara luar.
“Namun saya tidak putus asa dan dengan semangat tidak mudah menyerah saya berjaya juga menewaskan pelumba lain dan menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 20 minit,” ujarnya puas. Teks: Mohamad Iqmal Mathlan
- Created on .
- Hits: 977