USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MASS2022: TERUS MENGIKTIRAF KECEMERLANGAN DAN SUMBANGAN WARGA USM

WhatsApp Image 2023 11 21 at 14.27.02

BAYAN BARU, 20 November 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah mengiktiraf dengan menobatkan sanjungan dan anugerah kepada warga Universiti yang telah memberikan sumbangan dan mengharumkan nama USM sepanjang tahun 2022 di Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS2022) edisi ke-22 di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang.

Untuk MASS2022 pada kali ini, Tuanku Canselor USM, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail tidak dapat berangkat bagi memperkenankan majlis.

Bertemakan ‘Leaves as the Bridge Between Science and Art: A Fascinating Journey’, konsep ini meneruskan kesinambungan ‘Pohon Hayat’ yang melambangkan keseimbangan dalam pelbagai aspek dalam kehidupan, mecakupi tiga ruang penting iaitu mental, psikologi dan fizikal.

Pengolahan konsep dan idea dedaun diilhamkan daripada sembilan teras APEX iaitu keilmuan, masa depan, keunikan, kelestarian, kemanusiaan, kesejagatan, perubahan, pengorbanan dan kesejahteraan.

Seramai 202 warga USM diraikan dan tradisi ini diteruskan dengan mengiktiraf kecemerlangan Anugerah Sanggar Sanjung peringkat kebangsaan dan antarabangsa, meliputi kategori Pengkomersilan Produk Penyelidikan, Paten, Geran Penyelidikan Industri, Penerbitan Buku dan Penerbitan Jurnal.

WhatsApp Image 2023 11 21 at 14.27.11

Selain itu, pihak universiti turut menyampaikan beberapa anugerah lain selain Anugerah Sanggar Sanjung iaitu Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Pentadbir Sanjungan, Anugerah Sanjungan Industri, Anugerah Kualiti dan Anugerah Kepimpinan Masyarakat.

Pada MASS2022 ini, Dekan, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Profesor Dato’ Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishnan Abdullah telah menggondol Anugerah Canselor, yang mana beliau juga telah memenangi anugerah MASS2022 bagi tiga kategori iaitu Geran Penyelidikan Industri, Paten dan Penerbitan Jurnal.

WhatsApp Image 2023 11 21 at 14.27.11 1

Anugerah Canselor disampaikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan yang hadir bersama isterinya, Puan Sri Datin Tan Lee Hong.

M. Jegathesan dalam ucapannya berkata, majlis yang dikenali sebagai ‘Hall of Fame’ ini telah mencerminkan komitmen Universiti dalam menghargai warganya yang telah berkorban dan berusaha gigih dengan membantu Universiti mencapai misi dan visinya.

“Harapan saya adalah agar penyelidik-penyelidik USM akan sentiasa menghasilkan penyelidikan yang bermutu, berimpak tinggi dan memberi makna kepada masyarakat dan negara, serta menjadi contoh kepada penyelidik-penyelidik lain di luar sana, yang selari dengan hala tuju penyelidikan negara yang digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia,” katanya.

Dalam usia USM yang menjangkau 54 tahun, beliau turut menyeru seluruh warga USM untuk terus menjaga nama baik dan prestij akademik Universiti, yang mana sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan USM kekal relevan dan berupaya mengubah kehidupan bangsa, menambah baik ekonomi, persekitaran dan negara.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed memberikan naratif kejayaan dan kecemerlangan USM dalam melonjakkan pencapaian penyelidikan serta kecemerlangannya pada tahun 2022 yang lalu.

Hadir pada majlis adalah Pro-pro Canselor USM - Tan Sri Datuk Mustafa Mansur bersama isteri, Puan Sri Jasmin; Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan bersama isteri Puan Sri Datin Noridah Nachara Hamat; Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk MASS2022, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A. Wahab; serta delegasi USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 442

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024