USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RAIKAN 8,166 GRADUAN DALAM UPACARA KONVOKESYEN KE-61

Screenshot 2023 11 22 at 2.12.45 PM

USM PULAU PINANG, 17 November 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun ini meraikan 8,166 graduan dalam Upacara Konvokesyen Ke-61 dalam 13 sidang bermula 21 – 27 November 2023 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM di sini.

8,166 graduan itu merangkumi graduan Ijazah Tinggi (Ph.D/Kedoktoran dan Sarjana), Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Kejururawatan serta dua penerima gelaran Profesor Emeritus iaitu Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dan Dr. Mohd Sakri@ Shukri Salleh.  

Pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada kedua-dua tokoh akademia tersohor USM itu akan disempurnakan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan di Sidang Pertama yang akan berlangsung pada hari Selasa, 21 November 2023, bermula jam 10.30 pagi.

Turut dijadualkan pada Sidang Pertama ialah penganugerahan Hadiah Pingat Emas Canselor kepada pelajar tahun akhir terbaik dalam segala lapangan, iaitu Muhamad Hafizi Mohd Hanafi, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.

Sementara Sidang Kedua hingga Sidang Ketiga belas pula akan dipengerusikan oleh Pro-pro Canselor USM iaitu:

  • Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan (Sidang 2 – Sidang 5/ 22 – 23 November 2023)
  • Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan (Sidang 6 – Sidang 9/ 24 – 25 November 2023)
  • Tan Sri Datuk Mustafa Mansur (Sidang 10 – Sidang 13/ 26 – 27 November 2023)

Untuk Sidang 2 hingga Sidang 13, penganugerahan ijazah-ijazah akan dijalankan secara dua sesi setiap hari.

Secara tradisinya, dua majlis besar yang akan diadakan bersempena dengan konvokesyen USM ialah:

  • Majlis Anugerah Sanggar Sanjung (MASS) 2022 yang akan diadakan pada 20 November 2023, bermula jam 8.30 pagi di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang. MASS ialah untuk mengiktiraf dan meraikan para penyelidik, pendidik dan pentadbir USM yang menunjukkan ketokohan dan kecemerlangan dalam menabur bakti kepada Universiti, serta mengharumkan nama USM di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan pembelajaran, kepimpinan, keusahawanan, kualiti, libatsama industri dan kepimpinan masyarakat.
  • Ekspo Konvokesyen (ConvEx) 2023 yang berlangsung di sepanjang konvokesyen USM. ConvEx dianjur dan dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar USM dengan bimbingan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA). Perasmiannya akan disempurnakan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan pada 21 November 2023, jam 4.00 petang di Tapak Konvo USM.

Persiapan dan perjalanan keseluruhan Upacara Konvokesyen ke-61 USM ini melibatkan tenaga kerja hampir 800 staf USM yang terangkum dalam 24 Jawatankuasa Kecil Kerja Upacara Konvokesyen yang dipengerusikan oleh Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 781

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024