USM METERAI PERSEFAHAMAN DENGAN JPPKK, KPT PERKASA BIDANG PENDIDIKAN DAN LATIHAN PENYELIDIKAN
SEPANG, SELANGOR, 17 November 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkasa bidang pendidikan dan latihan penyelidikan, inovasi dan pengkormersialan.
MoU ini dimeterai dalam Simposium Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berlangsung di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA.
USM diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Professor Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly.
Kerjasama yang dijalinkan antara USM melalui Pusat Pengajian Teknologi Industri dengan JPPKK, KPT itu telah bermula sejak 2022 melalui kolaborasi strategik.
Melalui MoU ini, beberapa program dasar telah dan akan dirangka serta diperluaskan lagi oleh USM dan JPPKK, KPT.
Antara aktiviti-aktiviti yang telah dipersetujui melalui kerjasama ini adalah membuka peluang dalam perkongsian pengetahuan, kepakaran, peralatan dan fasiliti; bekerjasama dalam penyelidikan, penerbitan, inovasi, hubungan industri dan pengkomersialan; bekerjasama dalam membangun, merancang, memantapkan program akademik serta proses pengambilan atau kemasukan pelajar politeknik dalam program akademik di USM.
Selain itu, MoU ini juga memberi peluang kepada kedua-dua pihak bekerjasama dalam program akademik dan penyelidikan melibatkan kakitangan JPPKT, KPT dan USM; bekerjasama dalam penganjuran aktiviti pemindahan teknologi dan pengetahuan, persidangan, bengkel, seminar atau program yang dipersetujui bersama; bekerjasama dalam aktiviti melibatkan khidmat masyarakat dan pendidikan berterusan; dan apa-apa bidang kerjasama lain dalam bidang pendidikan dan latihan sebagaimana yang dipersetujui oleh JPPKK, KPT dan USM dari semasa ke semasa.
Kerjasama seperti ini dengan JPPKK, KPT akan menjadikan USM sentiasa relevan dan dominan dalam memperjuangkan agenda kelestarian baik di peringkat nasional, serantau mahupun antarabangsa.
Kerjasama pendidikan dan latihan dalam penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan pastinya dapat memberikan nilai tambah kepada aktiviti sedia ada selari dengan agenda APEX USM.
- Created on .
- Hits: 383