USM TERUS KUKUHKAN KOMITMEN KELESTARIAN: PELAKSANAAN PENUH LARANGAN PLASTIK SEKALI GUNA MULAI 1 JANUARI 2024
USM PULAU PINANG, 15 November 2023 – Bagi memastikan kelestarian dan kesejahteraan kampus terus diperkasa, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan penuh komitmen akan terus melaksanakan sepenuhnya pelaksanaan larangan penggunaan plastik sekali guna (single-use plastic) di seluruh kampus USM mulai 1 Januari 2024.
Inisiatif pelaksanaan ini merupakan lanjutan daripada hebahan bagi pengurangan penggunaan bekas polisterina dan plastik sekali guna yang diwar-warkan pada beberapa bulan yang lalu.
Sejak tahun 2008, USM telah menjadi perintis kepada pelaksanaan urusan Kelestarian dan Kesejahteraan, yang mana ianya terus diperkukuhkan pada tahun 2009 menerusi Governance APEX USM.
Selaras dengan agenda Universiti APEX yang didokong oleh semua warga universiti, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran menyeru semua warga USM yang terdiri daripada staf, pelajar, pesara dan para petugas sewaan premis USM untuk bersama-sama berganding bahu bagi memperkasakan agenda kelestarian Universiti.
“Adalah diharapkan agar dengan penguatkuasaan ini, seluruh warga USM dapat membudayakan amalan untuk mengurangkan dan seterusnya menolak penggunaan bekas makanan polisterina dan bekas plastik sekali guna di dalam kampus,” katanya.
Antara alternatif yang disarankan adalah;
1. menggantikan penggunaan bekas plastik atau polisterina dengan bahan mesra alam seperti bekas makanan dan minuman (tumbler) guna semula atau sendiri;
2. penggunaan penyedut minuman yang berkeluli, bekas kaca atau beg kain bagi menggantikan penggunaan plastik; dan
3. tidak lagi menggunakan beg plastik, minuman berbotol plastik serta sudu dan garfu plastik.
Untuk memastikan pelaksanaan urusan ini dilaksanakan secara teratur, pihak BJIM melalui Kampus Sejahtera akan mengadakan Sesi Taklimat Khas diikuti dengan beberapa sesi program kempen rasmi sepanjang tahun 2023 sebagai persediaan dan pelan tindakan ke arah sifar Plastik Sekali Guna di USM.
Sebarang pertanyaan dan rujukan berkaitan inisiatif ini, boleh menghubungi Penyelaras Kampus Sejahtera, Encik Ahmad Wafi Sahedan di emel
Kampus tanpa plastik adalah usaha berterusan yang memerlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak di dalam kampus USM.
Semoga usaha ini dapat menjadi contoh positif dalam usaha melindungi alam sekitar dan mengurangkan pencemaran plastik.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 1477