USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN SPACEIN LANCAR SPACEANT-D, SATELIT PIKO PERTAMA MALAYSIA MELALUI FALCON 9, SPACEX

NIBONG TEBAL, 12 November 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan SpaceIn Sdn. Bhd., sebuah syarikat spin-off USM yang terlibat dalam pembuatan satelit kecil dan perkhidmatan IoT, melakar sejarah dengan pelancaran satelit piko pertama Malaysia, SpaceANT-D, hari ini pada jam 2.47 pagi waktu tempatan.

WhatsApp Image 2023 11 14 at 11.28.37

Pelancaran tersebut menggunakan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California yang mana SpaceANT-D akan dilepaskan daripada deployer Alba Orbital dalam masa 7 ke 10 hari lagi dan isyarat pertama satelit kemudiannya akan dihantar ke stesen bumi.

Berukuran 5x5x5 sentimeter dengan berat kurang dari 250 gram, SpaceANT-D akan mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi IoT yang dinamakan 'Space Advance Network Technology' (SpaceANT).

Ianya akan menerima data daripada sensor di bumi dan kemudiannya dihantar semula ke stesen bumi dengan menggunakan cloud bagi memudahkan pengambilan data oleh pengguna.

SpaceANT dibangunkan serta dibiayai oleh geran yang dimenangi oleh SpaceIn dan syarikat ini juga merupakan penerima dana daripada CRADLE untuk pembangunan pusat data satelit di USM.

Malah, pelancaran satelit ini juga menunjukkan komitmen universiti dan SpaceIn untuk membangunkan bakat tempatan di samping menggalakkan inovasi dan kemajuan industri angkasa di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Dr. Norilmi Amilia Ismail menyuarakan keterujaan beliau akan peristiwa bersejarah ini dan menyatakan kesungguhan SpaceIn dalam bercita-cita untuk memimpin aktiviti penjelajahan angkasa di Malaysia.

“Pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil ini akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan,” kata beliau.

WhatsApp Image 2023 11 14 at 11.28.48

“Antara industri yang sedang menjadi tumpuan SpaceIn pada ketika ini dalam penggunaan satelit SpaceANT ini adalah industri pertanian, perhutanan serta industri minyak dan gas,” tambah Norilmi, yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

SpaceIn merupakan salah satu pemenang program akselerator SUPERB yang ditawarkan oleh TERAJU, sebuah agensi tindakan afirmatif Bumiputera yang strategik yang ditubuhkan pada tahun 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Selain USM dan SpaceIn, misi ini juga merupakan usaha bersama dengan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) dan menjadi tanda aras kepada pencapaian penting dalam usaha negara untuk mencapai Malaysia Space Exploration 2030.

Teks: Siti Faizah Abd Halim 

  • Created on .
  • Hits: 443

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024