PM DR. TAN JUN JIE DINOBAT PENERIMA ANUGERAH PENERBITAN MAKALAH JURNAL (BIDANG SAINS) DI AAN15
USM PULAU PINANG, 3 November 2023 – Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie, pensyarah dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) kerana menerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains, sempena malam Anugerah Akademik Negara ke-15 (AAN15), yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, di Kuala Lumpur, pada 31 Oktober 2023.
Dengan kemenangan tersebut, Jun Jie, 39, seorang pakar dalam bidang pengkhususan biologi sel stem, sains kardiak dan regenerasi jantung, telah menerima wang tunai RM50,000 beserta sebuah piala dan sijil penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Anugerah tersebut adalah untuk memberi pengiktirafan kepada ahli akademik yang menghasilkan makalah jurnal terbaik dalam bidang Sains bagi tahun yang dinilai, iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2021.
Kriteria penilaian anugerah tersebut adalah berdasarkan i) keaslian makalah dan impak kepada bidang ilmu; ii) sumbangan kepada masyarakat dan/atau negara; iii) impak kepada alam sejagat; dan iv) penerbitan bersama institusi/agensi/industri tempatan atau antarabangsa.
Anugerah Akademik Negara adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan merupakan program kemuncak bagi Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.
Program ini merupakan pengiktirafan tertinggi khusus untuk para ahli akademik tempatan sebagai meraikan kesarjanaan mereka serta menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Malah, AAN juga adalah merupakan satu daripada inisiatif Kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.
Selain Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk Bidang Sains, empat lagi anugerah yang dipertandingkan adalah Anugerah Penerbitan Buku; Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan; Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan; dan Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, serta anugerah terbesar dan paling utama iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara.
Turut hadir dari USM untuk bersama-sama meraikan pencapaian cemerlang Jun Jie ialah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Majlis turut menyaksikan kehadiran barisan pengurusan tinggi KPT, ahli akademia dari Universiti Awam; Institusi Pendidikan Tinggi Swasta; Politeknik dan Kolej Komuniti.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 685