GO BLOCK VOL. 8: FORUM - MEMBAWA ERA BARU DALAM SENI CETAKAN DI MGTF USM
USM PULAU PINANG, 7 November 2023 - Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mempersembahkan Pameran Go Block Vol. 8: Forum yang menampilkan karya seni daripada seniman Juhari Said; Shahrul Jamili; Samsudin Wahab dan Haslin Ismail (kolaborasi); Faizal Suhif; Fadli Mokhtar; Awang Damit Ahmad; Hamir Soib; Phuan Thai Meng; Sharmiza Abu Hassan; Umibaizurah Mahir; Agnes Lau dan Si Ying (kolaborasi); Azlan Mam dan Bibi Chew. Pameran ini akan berlangsung dari 7 November hingga 31 Januari 2024.
Pameran Go Block Vol. 8: Forum merupakan kesinambungan penerokaan artistik para seniman yang diteruskan dengan kepelbagaian praktis seni cetakan yang tidak lagi terhad kepada kaedah konvensional.
Hadir bagi merasmikan program adalah Ahli Majlis, The Institution of Engineering and Technology (IET) United Kingdom, Lim Yew Kee CEng, MIET (UK).
Lim dalam ucapan perasmiannya berkata, pameran Go Block Vol. 8: Forum ini telah berjaya menyerlahkan sifat dan sikap baharu yang didambakan dalam bidang seni cetak, sekurang-kurangnya di rantau Asia Tenggara.
“Pameran ini telah meletakkan tanda aras baharu dalam praktis seni cetak sezaman Malaysia dan tidak keterlaluan pula dikatakan bahawa pameran ini boleh dianggap sebagai antara salah satu pameran seni paling berjaya di Malaysia dari segi bentuk dan konteks dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Lim.
Juhari Said dalam ucapan aluannya berkata, dalam seni cetak kontemporari, terjadi penerokaan yang merujuk kepada sikap seniman yang berusaha untuk menganjakkan praktis seni cetak kepada bentuk persembahan baru, yang mana perubahan dan transisi ini adalah bertitik tolak daripada manipulasi dalam proses-proses tradisi seni cetak itu sendiri.
“Seiring dengan perkembangan ini, seniman terlibat telah melihat praktis seni cetakan dari perspektif yang berbeza melalui konsep 'blok' cetakan atau 'matrix' yang lebih bersifat universal. Ini mengambarkan sifat seni cetak kontemporari itu sendiri yang berkembang dari praktis seni cetakan yang bersifat tradisional hinggalah kontemporari,” kata Juhari.
Tambahnya, fasa ini juga boleh dilihat sebagai meraikan usaha memajukan perkembangan disiplin seni cetak ke peringkat seterusnya.
Sebanyak 38 karya seni dipamerkan di MGTF dengan penglibatan seramai 15 artis. Pameran ini terbuka kepada orang ramai di MGTF tanpa bayaran, dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang, pada hari Isnin hingga Sabtu.
Go Block merupakan suatu inisiatif kumpulan seniman yang mengetengahkan seni cetakan sebagai cabang seni yang utama dan penting melalui pengkaryaan yang bersifat kontemporari.
Istilah Go Block membawa pelbagai makna yang berkaitan dengan seni cetakan. Dalam istilah Inggeris ianya boleh diertikan sebagai meraikan blok cetakan (Go... Block!) atau membuang terus blok (off you go, block!), selain daripada unsur berseloroh dalam pengertian rimpunan bahasa di Nusantara yang membawa maksud ketololan (goblok).
Turut diselit pada majlis perasmian adalah Go Block Vol. 8: Seminar yang membicarakan tentang ‘Seni Cetak Alternatif Malaysia dari Kaca Mata Akademia: Dulu, Kini dan Masa Hadapan’ yang menampilkan panel-panel jemputan daripada universiti-universiti awam lain seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM); Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan USM.
Hadir sama adalah Dekan Pusat Pengajian Seni USM, Profesor Madya Dr. Sarena Abdullah; Pemangku Pengarah MGTF USM, Afzanizam Mohd Ali dan para seniman seni cetakan Go Block Vol. 8: Forum.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Faizal Ashraf Ali
- Created on .
- Hits: 609