SANTUN 2023: GELANGGANG SISWA-SISWI SERLAHKAN BAKAT BERPANTUN DALAM MENYAHUT CABARAN FORMAT BAHARU
PULAU PINANG, 5 November 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah menjadi ‘gelanggang’ pertandingan Sayembara Warisan Pantun 2023 (SANTUN).
Pertandingan SANTUN yang dianjurkan oleh Majlis Penggawa Desasiswa dan Majlis Yang Dipertua Desasiswa dan dikelolakan oleh Majlis Penghuni Desasiswa Saujana mengangkat tema ‘Srikandi’, sejajar dengan penghuni Desasiswa Saujana dan barisan kepimpinan serta keanggotaan Majlis Penghuni Desasiswa Saujana itu sendiri yang terdiri daripada pelajar wanita USM.
Pertandingan yang telah dilangsungkan dari 3 - 5 November membawa gagasan tema ‘Srikandi’, sebagai objektif untuk memperkasakan golongan mahasiswa wanita sebagai modal insan yang berdaya saing, kompeten, berilmu dan cakna akan kepentingan masyarakat dan sentiasa positif serta proaktif untuk kemajuan.
Program yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa I, Kompleks Cahaya Universiti Sains Malaysia (USM) telah disertai oleh 10 pasukan dari kalangan UA: UIAM (1), UiTM Shah Alam (1) dan UiTM Puncak Alam (1), 6 Desasiswa USM - Desasiswa Saujana (tuan rumah), Desasiswa Aman Damai, Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan (CGH), Desasiswa Indah Kembara, Desasiswa Jaya Lembaran Utama (JLU), Desasiswa Murni Nurani dan ‘swing team’ dari UiTM Shah Alam bersama Puncak Alam (1).
Pasukan pantun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dinobatkan sebagai johan, yang melayakkan mereka untuk membawa pulang wang tunai RM2,000, trofi dan sijil.
Barisan pemantun UIAM yang terdiri dari Muhammad ‘Aqil Mujahid Bin Mukhtar, Muhammad Akmal Azri Bin Omar, Muhammad ‘Izzul Ajwad Bin Ismar dan Nurul Izzah Binti Jaminan telah berjaya menewaskan pasukan pantun dari Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan (CGH) USM.
Peserta Desasiswa CGH USM yang dibarisi Nailatun Nadhiroh Binti Zakaria, Nur Isma Binti Che Mat Zahir, Ain Nur Aisyah Binti Raslan dan Nur Atikah Binti Mohmad Zaidi membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta trofi dan sijil.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, yang membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil.
Dalam pertandingan tersebut Nurul Izzah Binti Jaminan (UIAM) dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Pertandingan Akhir.
Turut dianugerahkan Pemantun Terbaik Keseluruhan ialah Aliah Nadhirah Binti Rosli dari Desasiwa Murni Nurani USM, manakala Afnan Binti Adnan dari Desasiswa Jaya Lembaran Utama USM dianugerahkan sebagai Pemantun Keempat Terbaik Pertandingan.
Selain itu, Anugerah Persembahan Pantun Pengenalan Terbaik dimenangi oleh pasukan pantun Desasiswa CGH USM dan Anugerah Busana Terbaik dimenangi oleh pasukan UiTM Shah Alam.
Kemahiran 10 pasukan yang bertanding dalam memenuhi konsep baharu pertandingan SANTUN 2023 ini membuktikan kebolehan mereka berpantun mengikut tema yang ditetapkan dan kehebatan ini wajar diberikan pujian.
Dengan memperkenalkan konsep pertandingan yang lebih baharu dan segar, dan bukan sekadar menjual dan membeli pantun, peserta juga diuji daya berfikir dalam berpantun seperti mencipta pantun menggunakan perkataan yang diberikan, seterusnya digunakan sebagai perkataan terakhir dalam pembayang dan mencipta sketsa drama pantun berdasarkan senario yang diberikan secara spontan.
Program SANTUN 2023 telah membuktikan bahawa pantun serta seni berpantun sebagai khazanah puisi Melayu tradisional dan warisan bangsa dapat diterima baik dalam kalangan mahasiswa universiti pada masa ini serta wajar dikekalkan dan dikembangkan di masa hadapan.
Teks & Foto: Majlis Penghuni Desasiswa Saujana/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 674