USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAHASISWA USM CERIAKAN PENGHUNI RUMAH ORANG-ORANG TUA LOTUS

 DSC7510

PULAU PINANG, 22 Mei 2015 – Inisiatif 24 orang mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM), di bawah naungan Sekreteriat Kebudayaan & Kesenian Tionghua (SKKT) mengadakan kunjungan ke Rumah Orang-Orang Tua Lotus hari ini ternyata menghadirkan keceriaan buat penghuni rumah tersebut.

Menurut pengarah projek Chua Chee Keong, lawatan tersebut bertujuan merapatkan hubungan antara golongan warga emas dengan golongan belia disamping menzahirkan rasa kecintaan buat mereka yang mempunyai banyak pengalaman hidup.

 DSC7516

 DSC7522

“Tanpa mereka siapalah kita. Pastinya golongan ini mempunyai seribu satu cerita yang boleh dikongsi, yang boleh ditafsir, yang boleh dijadikan panduan bagi kami melalui jalan-jalan kehidupan yang penuh dugaan dan cabaran,” ujar mahasiswa tahun pertama Pusat Pengajian Sains Kimia ini.

“Dalam masa yang sama, kami juga berhasrat menjemput golongan warga emas ini, bersama-sama meraikan Pesta Tanglung 2015 yang bakal diadakan di Kampus Induk USM nanti.”

Pesta Tanglung 2015 merupakan acara tahunan yang dianjurkan SKKT, yang merupakan satu sambutan amat bermakna buat masyarakat Cina khususnya di Malaysia.

 DSC7533

 DSC7549

Program tersebut dijangka berlangsung pada 10 Oktober 2015 dan akan dirasmikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman di Padang Kawad.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sempena sambutan Pesta Tanglung tersebut ialah pertandingan mewarna peringkat sekolah rendah, pertandingan fotografi dan nyanyian serta peraduan mencipta tanglung kreatif yang turut melibatkan penyertaan daripada Institut Pengajian Tinggi Awam dan kolej-kolej tempatan.

 DSC7552

 DSC7560

Bagi pengurus rumah kebajikan tersebut, Annie Koon On Poh, 57, beliau melahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha mahasiswa USM mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra bersama kira-kira 34 orang penghuninya, yang berumur diantara 80 – 94 tahun.

“Ini merupakan kali pertama rumah ini dikunjungi oleh golongan mahasiswa dan saya amat terharu dengan keprihatinan mereka.”

Tambahnya lagi, walaupun penghuni seramai 24 wanita dan 10 lelaki di sini sudah terlalu berumur, tetapi mereka tidak menghidap sebarang penyakit serius, dan jika ada pun, hanya sakit tua sahaja.

“Diharapkan, dengan adanya program seperti ini, warga emas di sini dapat menikmati masa-masa ceria setelah menjalani rutin harian yang hampir sama setiap hari.”

Bagi salah seorang peghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Uncle Lim, 94, beliau telah menetap di situ hampir 10 tahun lamanya.

Berasal dari Jalan Macallum, Pulau Pinang, Uncle Lim mempunyai 5 orang anak dan 11 orang cucu dan beberapa orang cicit.

“Walaupun saya ditempatkan di sini, ahli keluarga kerap melawat saya dan dapatlah melepaskan rindu menatap wajah mereka yang tersayang.

“Saya gembira di sini, sekurangnya saya mempunyai rakan berbual dan teman berkongsi cerita, jadi taklah hari-hari saya kosong begitu saja,” ujarnya mengakhiri perbualan.

 Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1817

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024