SUKAN RAKYAT MADANI MENGERATKAN PERPADUAN UMAT ISLAM
USM PULAU PINANG, 5 November 2023 - Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jaringan Masjid Kariah Daerah Timur Laut (Tim Al-Jannah) baru-baru ini telah menganjurkan Sukan Rakyat Madani Tim Al-Jannah bersempena dengan program Ihtifal 40 Tahun Masjid Al-Malik Khalid USM pada 5 Novermber 2023 yang lalu.
Antara aktiviti sukan yang menarik yang terdapat dalam pertandingan Sukan Rakyat ini adalah dam haji berkumpulan; sepak raga bulatan berkumpulan; congkak berkumpulan; batu seremban berkumpulan; sepak penalti; mini ping pong; boling kelapa dan memanah tradisional.
Majlis perasmian penutup program disempurnakan oleh Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) Negeri Pulau Pinang merangkap pensyarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Kitab Pulau Pinang, Ustaz Muhamad Faris Muhd Fadhil mewakili TKM 1 Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Muhamad Faris dalam ucapannya berkata, masjid adalah tempat yang menyatukan umat Islam atas prinsip tauhid yang menekankan hubungan yang ikhlas kepada Allah serta hubungan sesama manusia
“Telah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) untuk memastikan unsur-unsur perpaduan ini dapat dipupuk dan disemai yang masyarakat Islam di Pulau Pinang,” katanya.
Tambah Muhamad Faris, beliau percaya bahawa perlaksanaan program ini akan mewujudkan satu hubungan yang kukuh antara ahli kariah masjid-masjid daerah timur laut, yang mana Sukan Rakyat Madani ini juga dilihat sebagai satu usaha masjid-masjid daerah timur laut ke arah menarik minat anak-anak muda untuk menjadikan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah tetapi juga sebagai tempat riadah dan rekreasi.
“Saya berharap agar semoga program-program seperti ini dapat dilaksanakan pada masa yang akan datang dan menjadi satu acara tahunan bagi Masjid-Masjid Kariah Daerah Timur Laut, Pulau Pinang,” tambah Muhamad Faris lagi.
Sementara itu, Pengerusi Jaringan Tim Al-Jannah, Haji Mohd Ali Mohd Yusof dalam ucapan aluannya berkata, perlaksanaan Sukan Rakyat Madani Tim Al-Jannah ini dilihat sebagai medium untuk mengeratkan hubungan Tim Al-Jannah bersama anak- anak kariah Masjid-Masjid Daerah Timur Laut.
Katanya, melalui aktiviti sukan ini, Tim Al-Jannah telah menghasilkan jaringan yang baik sesama pengerusi-pengerusi masjid dalam menjadikan Masjid bukan sahaja sebagai tempat aktiviti ibadah tetapi juga sebagai tempat pentadbiran, ekonomi dan aktiviti-aktiviti sosial yang bermanfaat.
“Harapan saya agar dengan terlaksananya program ini, ianya dapat menonjolkan peranan Tim Al-Jannah kepada setiap ahli kariah Daerah Timur Laut dalam usaha membawa suara serta menjadi jaringan yang besar antara ahli kariah Daerah Timur Laut dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang,” kata Mohd Ali.
Program tersebut disertai kira-kira 350 orang awam dengan melibatkan 11 masjid daerah timur laut, Negeri Pulau Pinang.
Hadir sama adalah Bendahari USM, Rafizal Abd Rahim; Pemangku Pengarah Pusat Sukan USM, Nasrullah Mohamed Farouk; Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, USTAZ ZAYD ZHARI; pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Timur Laut dan USM serta pengerusi-pengerusi Tim Al-Jannah.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 553