USM TUAN RUMAH PABM 2023 - MENGANGKAT BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA YANG ULUNG BAHASA ILMU
USM PULAU PINANG, 4 November 2023 – Buat julung kalinya, Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi tuan rumah bagi Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2023 Piala Perdana Menteri kali ke-15 bertemakan “Memartabatkan Citra dan Kedaulatan Bahasa Melayu.”
PABM merupakan program utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya dalam mengangkat Bahasa Melayu dan mempromosikan pengajian yang berkaitan dengannya di seluruh dunia.
Program ini bermatlamat untuk memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan sekaligus memperkenalkan unsur kebudayaan dan tamadun dalam bahasa Melayu kepada masyarakat dunia.
Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, kira-kira 3,500 orang telah membanjiri dewan dengan menyaksikan sebanyak tujuh buah negara berentap dalam pusingan akhir antaranya adalah negara Malaysia, Brunei, Uzbekistan, China, Bangladesh, Sudan dan Timor-Leste.
Hadir bagi merasmikan program adalah Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled dalam ucapannya berkata, dalam mengangkat kedudukan Bahasa Melayu dan prestij pengajian bidang ini, KPT mempunyai beberapa sasaran iaitu;
1. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai antara tarikan dan pengisian dalam menjayakan diplomasi pengetahuan dalam membina dan mengukuhkan hubungan antarabangsa yang berasaskan pengetahuan dan ilmu. Justeru, Bahasa Melayu mesti menjadi sebahagian daripada disiplin yang diketengahkan; dan
2. Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa yang sejagat dalam menyerlahkan sistem nilai yang baik khususnya dalam menterjemah agenda negara yang merentas kaum dan bangsa.
“Malaysia MADANI misalnya, adalah satu etos nasional yang dipasak pada sistem nilai yang baik, yang mana sistem nilai ini harus menjadi pegangan dan citra bangsa yang dibudayakan dengan penuh kesungguhan dan rasa bangga,” katanya.
Tambah Mohamed Khaled, pihak KPT menyambut baik ketegasan Perdana Menteri yang mahukan semua urusan bertulis dan persuratan rasmi kerajaan dilakukan dalam Bahasa Melayu, kerana bahasa bukan sahaja jiwa bangsa, tetapi bahasa adalah suri dan seri negara yang mempunyai kedudukan istimewa.
Sementara itu, Pengarah Program PABM 2023, Shamil Shazwan Abu Bakar berkata, dengan wujudnya agenda pemerkasaan mahasiswa ini, para pelajar dapat memupuk kemahiran insaniah sejak dari peringkat universiti, menjadikan kami bersedia apabila menginjak ke alam pekerjaan.
“Pihak USM sentiasa menyokong agenda pemerkasaan mahasiswa ini kerana mahasiswa/i yang akan membentuk landskap kepimpinan negara pada satu hari nanti dan pesan saya kepada para mahasiswa/i, untuk ambil setiap peluang yang berharga bagi menimba ilmu seperti yang sering diperkatakan ‘Ilmu Pembelajaran Sepanjang Hayat’,” katanya.
Pusingan awal dan suku akhir telah diadakan secara dalam talian pada bulan September yang lalu dan tiga teratas dari setiap kategori mengambil bahagian dalam pertandingan bersemuka malam ini.
Menariknya hadiah bagi pertandingan ini ialah Johan bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000 beserta piala pusingan dan piala iringan; Naib Johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM8,000 dan tempat ketiga adalah RM5,000.
Berikut merupakan pemenang-pemenang mengikut kategori PABM:
Kategori Alam Melayu
- Johan - Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah (Malaysia - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM))
- Naib Johan - Ivanatasha Abdul Majid (Malaysia - Universiti Teknologi Mara (UiTM))
- Ketiga - Abdul Mujib Awang Sh'Minan (Brunei Darussalam - Universiti Islam Sultan Sharif (UNISSA))
Kategori Pelajar Antarabangsa
- Johan - Carla Goncalves De Oliveira Sarmento (Timor-Leste - Universiti Malaysia Sabah (UMS))
- Naib Johan - Abuelgasim Saadeldin Mansour Mohamed (Sudan - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM))
- Ketiga - Faizal Muhammad (Bangladesh - Universiti Putra Malaysia (UPM))
Kategori Pelajar Antarabangsa
- Johan - Gulzoda Ulkurova (Uzbezkistan - Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS))
- Naib Johan - Akramova Sarvinoz Abduvohid Qizi (Uzbezkistan - Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS))
- Ketiga - Sun Zichang (China - Beijing Foreign Studies University (BFSU))
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi KPT, Dato’ Mohammad Yusof Apdal; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Naib-naib Canselor dan Rektor Universiti Awam dan Swasta; Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Awam dan Swasta; serta pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan IPT.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 826