USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HARGAI JASA GURU, SAMBUT HARI GURU DENGAN TEMA “GURU INSANI PEMANGKIN GENERASI MADANI”

WhatsApp Image 2023 11 06 at 2.41.16 PM

USM PULAU PINANG, 31 Oktober 2023 – Bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Generasi Madani’, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) Universti Sains Malaysai (USM) telah mengadakan Sambutan Hari Guru di Dewan Pembangunan Siswa 1, Kompleks Cahaya USM baru-baru ini.

Tema pada tahun ini membawa maksud guru selaku individu yang berperanan sebagai penggerak atau pemangkin dalam pembentukan generasi madani yang berkualiti dan bertanggungjawab.

Tema ini cukup signifikan dalam menekankan betapa pentingnya tugas dan peranan guru untuk menjadi obor penggerak bagi melahirkan dan membentuk generasi muda yang berkualiti dan bertanggungjawab dengan nilai-nilai kemanusiaan dan madani sebagai landasan utama dalam hidup.

WhatsApp Image 2023 11 06 at 2.41.15 PM

Turut hadir dalam upacara perasmian adalah Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan.

Menurut beliau, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

“Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Dekan PPIP, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman, turut mengucapkan ‘SELAMAT HARI GURU’ buat semua pendidik anak bangsa.

Menurut beliau, ucapan tersebut tidak terlewat kerana jasa guru wajar dihargai pada setiap masa.

“Kita sedar bahawa tanpa guru, siapalah kita pada hari ini. Guru merupakan insan bertuah kerana berada dalam lapangan yang cukup mulia dan sentiasa signifikan sepanjang zaman.

WhatsApp Image 2023 11 06 at 2.41.15 PM1

“Tugas sebagai pendidik ibarat berada di sebuah ladang. Guru menanam benih-benih keinsanan, menyiram kasih sayang, membajainya dengan luhur budi agar terus subur dan membesar dengan sempurna,” ujarnya lagi.

“Pendidikan ialah proses berterusan (formal dan tidak formal) untuk penyerapan adab yang berkaitan dengan hubungan manusia dengan pencipta dan hubungan dengan sesama makhluk dan alam semesta.

“Oleh itu, seorang guru haruslah mempunyai pengetahuan dan kecekapan dalam bidang akademik dan perlu mempunyai sifat-sifat kemanusiaan yang baik seperti kesabaran, empati, dan keprihatinan terhadap pelajar-pelajar mereka.

“Ini adalah kerana, guru merupakan agen yang akan memacu dan membantu membina generasi muda yang bertanggungjawab, berdaya saing dan beretika,” kata Rahimi.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor   

  • Created on .
  • Hits: 477

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024