USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-STRAVIK JALIN KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN ALAT PENGUKURAN AUTOMASI ESG DALAM KAMPUS USM

WhatsApp Image 2023 11 03 at 12.30.59 PM

PULAU PINANG, 3 November 2023 - Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menjalinkan kerjasama bersama STRAVIK Sdn. Bhd. melalui penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) dalam satu majlis khas di sini hari ini.

Kerjasama ini bertujuan untuk menguji aplikasi papan pemuka (dashboard) penggunaan tenaga bersepadu STRAVIK (Connect2Save) di seluruh bangunan USM termasuk meneroka aplikasi dan potensi masa hadapan berkaitan aplikasi tersebut.

WhatsApp Image 2023 11 03 at 12.30.58 PM1

Dashbord berkenaan membolehkan kiraan terhadap penggunaan tenaga dibuat secara automatik dan dapat menggalakkan kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kampus USM.

Kolaborasi strategik ini juga merangkumi penyertaan bersama dalam penyelidikan dan pembangunan untuk mencipta penyelesaian perkakasan dan perisian yang mampan dengan harga berpatutan untuk sektor kritikal seperti pengurusan air, pengurusan bahan sisa, dan pembangunan teknologi penyimpanan tenaga.

Penumpuan yang besar diberikan kepada kecerdasan buatan (AI), terutamanya dalam analitik bagi projek penyimpanan tenaga.

Majlis penandatanganan MoA itu disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Ketua Pegawai Eksekutif, STRAVIK Sdn. Bhd., Dr. Vimaleswari K. Ramasamy disaksikan oleh Pengarah CGSS, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Shafiei, bersama Ketua Pegawai Operasi, STRAVIK Sdn. Bhd., Subramaniam Apala Naidu.

WhatsApp Image 2023 11 03 at 12.30.55 PM   WhatsApp Image 2023 11 03 at 12.30.54 PM

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, melalui matlamat kerjasama antara dua pihak tersebut, impaknya dapat dilihat seperti menggalakkan industri untuk menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan dasar domestik melalui penglibatan industri dalam pematuhan standard Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG); mengukuhkan jaringan antara industri dan USM melalui pengajaran, penyelidikan, IP/Inovasi, penerbitan, perundingan, dan latihan; serta membangunkan kerangka kerja ESG untuk pelbagai sektor perindustrian.

“Melalui kolaborasi strategik ini, pihak USM berhasrat untuk menyokong keperluan data ESG dan jurang pendedahan untuk syarikat di Malaysia, khususnya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerana mereka membentuk 97.4% entiti perniagaan dalam negara,” kata Abdul Rahman.

Sementara itu, Vimaleswari dalam ucapannya berkata, MoA ini bukan hanya perjanjian undang-undang tetapi juga merupakan kerjasama untuk perubahan dan kemajuan bersama dan sejagat.

“Kolaborasi antara USM dan STRAVIK akan memimpin usaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan bertanggungjawab untuk negara Malaysia. Ini juga akan menjadi panduan bagi industri dan organisasi lain," kata Vimaleswari.

Tambah beliau, pihak STRAVIK sangat bersyukur dan bersemangat untuk memulakan perjalanan ini, yang mana mereka dapat berinovasi, menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan kejayaan, sambil memberikan sumbangan positif kepada dunia.

Memandangkan penggunaan amalan ESG akan memberi kesan kepada operasi, tenaga kerja dan pelanggan, penemuan daripada program perintis antara USM dan STRAVIK ini akan didokumenkan dan dikongsi, mempromosikan amalan terbaik mampan yang bukan sahaja bertanggungjawab terhadap alam sekitar, tetapi juga bermanfaat dari segi sosial dan ekonomi untuk kedua-dua perniagaan serta masyarakat amnya.

WhatsApp Image 2023 11 03 at 12.30.56 PM

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi & Malar Ramalingam/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 658

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024