USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SOTA-JABATAN PENJARA MALAYSIA ANJUR PROGRAM TEATER MUZIKAL MUHIBAH 2023; KREATIVITI DAN TRANSFORMASI MELALUI SENI DI PENJARA

WhatsApp Image 2023 11 02 at 23.37.13

USM PULAU PINANG, 2 November 2023 - Pusat Pengajian Seni (SOTA) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia hari ini telah menganjurkan Program Teater Muzikal Muhibah 2023 iaitu sebuah terapi pemulihan yang melibatkan penghuni penjara dalam usaha menerapkan nilai-nilai murni melalui kaedah memartabatkan kesenian dan kebudayaan sejajar dengan visi Jabatan Penjara Malaysia sebagai Peneraju Perkhidmatan Korektif dan hasrat jabatan untuk menjadi ‘Civilized Human Culture Development Centre’ (CHCDC).

Berlangsung di Dewan Budaya USM, program ini disertai oleh seramai 82 orang penghuni dari 9 kumpulan Institusi Penjara Malaysia.

Bertemakan ‘Sinar Harapan dari Terongko’, program ini bertindak sebagai salah satu bentuk penyampaian ‘Mesej dari Penjara’ kepada masyarakat untuk mencegah perlakuan jenayah, penyalahgunaan dadah dan gejala sosial.

Majlis Penutupan Program Muzikal Muhibah 2023 disempurnakan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak.

Abdul Aziz dalam ucapan perasmian penutupnya berkata, Program Muzikal Muhibah 2023 ini merupakan pendekatan Teater Terapi iaitu sebagai satu platform yang memusatkan kepelbagaian elemen pemulihan yang efektif dan membolehkan penghuni menginsafi kesalahan lampau.

“Harapan jabatan adalah agar program ini mampu bertindak sebagai serampang dua mata bagi menyampaikan ‘Mesej Pencegahan Jenayah’ kepada penuntut dan kakitangan Institusi Pengajian Tinggi Awam khususnya USM, serta komuniti setempat mengenai pencegahan jenayah, penyalahgunaan dadah dan gejala sosial serta menimbulkan kesedaran nilai kasih sayang atau nilai - nilai murni yang bertaut rapat dengan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Tambah Abdul Aziz, beliau berharap agar penonton memahami intipati mesej yang ingin disampaikan oleh penghuni-penghuni melalui persembahan teater yang dipersembahkan serta dapat dijadikan pedoman dan iktibar dalam menjalani kehidupan seharian.

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti SOTA USM, Dr. Norfarizah Mohd Bakhir dalam ucapan aluannya berkata, kerjasama antara dua pihak ini adalah satu usaha perkongsian dan pertukaran ilmu, disiplin dan pengalaman yang positif yang mana hal ini bersesuaian dengan tuntutan ilmu itu sendiri untuk diamalkan dan dimanfaatkan bagi kesejahteraan sejagat.

“SOTA USM juga melihat kerjasama ini sebagai satu bentuk sokongan dan pendidikan, terhadap masyarakat agar memberikan sokongan positif dan membentuk pemikiran ‘peluang kedua’ dalam kalangan penghuni penjara yang sering didiskriminasi apabila pulang ke pangkuan masyarakat.

“Kita mengharapkan golongan intelek dan pelajar seharusnya bertindak sebagai agen dalam menyebarkan sokongan dan pemikiran positif apabila bekerja dalam pelbagai profesion  dengan masyarakat kelak. Program sebegini juga dapat menyampaikan mesej keinsafan dan pelajaran kehidupan tentang pencegahan dan kesan jenayah kepada generasi muda khususnya para pelajar,” kata Norfarizah.

Program Teater Muzikal Muhibah 2023 ini merupakan kesinambungan daripada kerjasama yang dijalinkan pada 14 hingga 15 Jun 2023 yang lalu melalui Bengkel Pemindahan Ilmu, “Pemulihan dan Pembangunan Modal Insan Melalui Seni Teater” yang mana para peserta menimba ilmu dari kepakaran pensyarah-pensyarah Bahagian Drama & Teater USM.

Bengkel tersebut melibatkan 64 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai penjara  dari 31 institusi penjara manakala pertandingan teater muzikal ini melibatkan seramai 259 penghuni penjara dari 29 institusi penjara di seluruh Malaysia.

Hasil daripada saringan penjurian secara rakaman yang diadili oleh juri-juri yang terdiri pensyarah-pensyarah Bahagian Drama dan Teater SOTA USM, maka 9 institusi telah terpilih untuk dibawa ke pertandingan peringkat akhir pada hari ini.

WhatsApp Image 2023 11 02 at 23.37.14

Hadir sama pada majlis adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia, Komisioner Haji Ajidin Haji Salleh; Pengarah Penjara Negeri Pulau Pinang Penolong Kanan Komisioner Haji Zulkifli Abdul Manah; Pengarah Penjara Seberang Perai, Penolong Kanan Komisioner Mahadzir Che Daud; Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa SOTA USM, Dr. Mohammad Khizal Mohamed Saat; Pengarah Dewan Budaya USM, Ramnah Ramli; Pengarah Program Teater Muzikal Muhibah 2023, Dr. Azrul Azizi Amirul serta pegawai-pegawai utama universiti dan Jabatan Penjara Malaysia.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 760

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024