USM TERAJUI KONSORTIUM E&E BAGI PELAKSANAAN PROGRAM MRI3 KPT
KUALA LUMPUR, 1 November 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah terpilih dan dilantik sebagai ketua penyelaras bagi Konsortium Elektrik dan Elektronik (E&E) bagi pelaksanaan Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri (MRI3), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan USM sebagai peneraju konsortium itu dibuat berdasarkan kepada kepakaran, skop bidang tugas serta pengalaman USM yang disifatkan sejajar dengan penubuhan konsortium itu.
Tambah beliau, konsortium yang ditubuhkan dalam kalangan 20 universiti awam itu diwujudkan khas untuk menyediakan graduan yang akan memenuhi keperluan industri E&E yang menawarkan gaji premium.
“Kita bukan sahaja membawa pelajar dan bakat yang kita ada untuk terus dilatih dan dibangunkan secara bersama oleh industri, malah kita akan memberi fokus dan menyusun strategi dengan melihat sesuatu bidang atau industri secara khusus dan terperinci.
“USM misalnya telah memulakan projek rintis bagi MRI3 bagi pembangunan bakat ‘industry-ready talent’ untuk sektor E&E dan ia dilihat selaras dengan usaha kerajaan untuk memanfaatkan kemunculan industri berasaskan pengetahuan sebagai pertumbuhan pendapatan baharu negara,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, kaedah berkenaan lebih berfokus, bersasar dan terus menjawab keperluan industri secara langsung. Malah, ia adalah satu strategi yang menjadikan gaji premium sebagai ukuran dan bukannya sekadar keupayaan mendapat pekerjaan atau employability.
Mohamed Khaled berkata demikian dalam ucaptama beliau sempena Persidangan Dinamik Pasaran Kerja Graduan 2023 di sini hari ini.
Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Mohammad Yusof Apdal, pegawai-pegawai utama KPT, wakil UA, pihak industri dan sebagainya.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed turut hadir bagi menerima watikah lantikan sebagai ketua konsortium dalam majlis berkenaan.
Dalam pada itu, pelantikan USM sebagai ketua penyelaras konsortium E&E itu antara lain bertujuan untuk menyelaras terma dan rujukan yang ditetapkan, termasuk bertindak sebagai focal point di antara konsortium UA dengan pihak industri E&E.
Selain membekalkan graduan kepada industri E&E, USM juga berperanan dalam menyelaras kerjasama strategik dan sistem pemadanan program keperluan bakat serta mengadakan sesi libat urus dalam kalangan ahli-ahli konsortium dengan pihak industri E&E.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 970