BAWA HASIL KREATIF PELAJAR KE TAHAP LEBIH JAUH
PULAU PINANG, 21 Mei 2015, Hasil karya kreatif pelajar perlu diketengahkan lebih jauh lagi termasuk dikomersilkan.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang melihat dari dekat 125 hasil karya pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Seni melalui pameran RINTIS ('Research Innovation Toward Integration and Sustainability) di sini sebagai acara tahunan kagum dan begitu tertarik dengan karya-karya mereka yang dianggapnya berdaya saing dan mampu menembusi pasaran.
" Kebanyakan produk yang dihasilkan ini mampu untuk dikomersilkan hasil idea asli pelajar dan merupakan inovasi baharu yang mampu mencipta peluang baharu dalam pasaran industri," ujarnya.
Tambah Omar lagi, RINTIS adalah satu laluan kepada pelajar mengembangkan bakat mereka dan USM sedia membantu memanjangkan kerja kreatif ini pada masa hadapan.
RINTIS yang juga membawa maksud laluan atau platform, membawa karya pelajar menuju dan menembusi pasaran industri yang melibatkan pelajar dari pengkhususan Lakonan dan Pengarahan, Rekabentuk Teknologi Media Baharu, Rekabentuk Produk, Rekabentuk Grafik Komunikasi, Seni Halus dan Muzik.
RINTIS dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof Datuk Dr Muhamad Jantan baru-baru ini.
Menurut Muhamad, melalui RINTIS dapat memberi pendedahan kepada pelajar untuk lebih bersedia melangkah ke alam pekerjaan yang diharapkan hasil kreativiti dan inovasi mereka mampu untuk dikomersilkan.
Dekan PPS USM, Profesor Madya Mohammad Omar Bidin berkata, hasil karya pelajar juga ditekankan untuk memenuhi visi dan wawasan universiti selaras dengan status universiti sebagai sebuah universiti APEX dengan mengambil kira teras APEX terutamanya yang menonjolkan keunikan dan kemanusiaan.
"Pelajar-pelajar diwajibkan melakukan penyelidikan terlebih dahulu dan perlu melalui beberapa sesi kritik dan pandangan bersama pensyarah-pensyarah sebelum mereka mempamerkan hasil karya mereka dalam acara pameran RINTIS." kata Mohammad Omar.
Pihaknya juga berharap agar pameran kali ini dapat memberi peluang kepada pelajar dalam mempamerkan hasil karya terbaik, bakat besar serta kemampuan mereka dan bersedia menerima kritikan dalam membina keyakinan diri untuk menghadapi dunia masa hadapan yang mencabar.
Program yang berlangsung bermula 10 April hingga 26 Jun 2015 ini turut menampilkan beberapa persembahan teater menarik, antaranya ialah Jalan Mati, Dan Tiga Dara Terbang Ke Bulan, Pengganti Zen, Peristiwa Di Zoo, Antara, Protes, dan Alice In Wonderland.
Pameran RINTIS berlangsung di Balai Pasiban PPS USM dan Muzium Galeri Tuanku Fauziah (MGTF) bermula dari 19 Mei hingga 16 Jun 2015 mempamerkan hasil seni pelajar dalam pengkhususan Rekabentuk Teknologi Media Baharu, Rekabentuk Produk, Rekabentuk Grafik Komunikasi serta Seni Halus. Majlis Penutup program ini akan diadakan pada 28 Mei 2015 bertempat di MGTF USM. Teks: Syuhada Abdul Aziz/Suntingan: Mohamad Abdullah / Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1300