USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KELESTARIAN USAHA PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU USM

b7d1947d 8de7 415e b82f f7577aa6e94f

XI’AN, CHINA, 28 Oktober 2023 – Gema bahasa Melayu kedengaran di kampus Xi’an International Studies University, China dalam Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya (SATBBMC) kali ke-4.

Acara ilmiah yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama salah sebuah universiti di China yang menawarkan program Pengajian Bahasa Melayu ini merupakan salah satu inisiatif teras USM dalam agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu.

SATBBMC IV diusahasamakan oleh UniTI dan Jabatan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Bahasa Asia dan Afrika, Xi’an International Studies University (XISU) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta sokongan Education Malaysia Beijing. Tema seminar kali ini ialah “Persejarahan dan Akal Budi Melayu-China”.

41489396 121c 4dcd 97a2 2185089002c6

Dalam ucapan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, beliau menerangkan bahawa catatan rasmi dalam sejarah China, iaitu Hou Han Shu menunjukkan bahawa sudah wujudnya perhubungan antara Alam Melayu dan China sejak 131 T.M., iaitu pada zaman Dinasti Han.

“Berdasarkan buku sejarah Ming Shi (Sejarah Rasmi Dinasti Ming), pada tahun 1403, Yin Qing, utusan dari China pada zaman pemerintahan Maharaja Yong-le tiba di Melaka dengan membawa hadiah kepada Parameswara. Dan tahun-tahun selepas itu, Parameswara dan utusan tributari dari Melaka beberapa kali mengadakan kunjungan rasmi ke China,” jelasnya.  

Tegas beliau, hubungan sosiopolitik dua hala ini telah menjadi pemangkin yang mapan kepada interaksi terjemahan, bahasa dan budaya Melayu-China sehingga hari ini.

“Melalui interaksi terjemahan, bahasa dan budaya Melayu-China, khazanah kepustakaan ilmu antara kedua-dua tamadun dan peradaban Melayu dan China saling melengkapi, sekaligus mewujudkan keharmonian sarwajagat yang sudah semestinya membawakan kebaikan kepada segenap pihak,” ujar Narimah.

Timbalan Presiden XISU, Li Jinghao dalam ucapan alu-aluannya berkata, Jabatan Bahasa Melayu ditubuhkan pada tahun 2016 di XISU bagi melahirkan graduan yang cekap berbahasa Melayu.

Menurut beliau, bahasa Melayu diberikan perhatian serius kerana bahasa Melayu ialah bahasa yang membolehkan penjalinan hubungan Malaysia-China dalam aspek politik, diplomatik, perdagangan dua hala serta interaksi sosiobudaya.

“Oleh hal yang demikian, XISU amat mementingkan penghantaran pelajar jurusan Bahasa Melayu mereka ke USM untuk mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM),” katanya lagi.

Semasa menyampaikan ucapan perasmian, Konsul Jeneral Malaysia di Xi’an, Lam Wan Liang telah mengusulkan empat inisiatif pengantarabangsaan bahasa Melayu di China.

Pertama, penjalinan kolaboratif bersepadu antara syarikat perdagangan dan pelaburan Malaysia-China bagi menyediakan tempat latihan industri kepada pelajar China yang bermajor Bahasa Melayu.

Kedua, penghantaran pelajar jurusan Bahasa Melayu dari China ke program EduTourism anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia bagi mendekati ekosistem bahasa dan budaya Melayu di Malaysia.

Ketiga, pewujudan usahasama penyelidikan dalam kalangan sarjana Malaysia-China.

Keempat, peningkatan kerjasama penerbitan berbahasa Melayu dan terjemahan bahasa Melayu-bahasa China bagi menambahkan sumber rujukan ilmiah.

Dalam rumusan SATBBMC IV, Penyelaras UniTI PPIK, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penganjuran menyimpulkan bahawa sebanyak 33 buah kertas kerja telah dibentangkan dalam seminar kali ini mencakupi bidang terjemahan, sejarah, budaya, bahasa, kesusasteraan, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu serta falsafah dan tamadun.

Beliau turut mengumumkan bahawa SATBBMC V pada tahun 2025 akan diadakan di kampus Beijing Foreign Studies University (BFSU) dan Pusat Pengajian Melayu BFSU akan menjadi penganjur bersama.

Pada masa yang sama, beliau mengundang semua pensyarah dan guru Bahasa Melayu China untuk menyertai Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China dan Simposium Pelan Strategik Pengembangan Bahasa Melayu di China yang dijadualkan berlangsung pada 10-12 Mei 2024 di Pulau Pinang bersempena dengan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50.

Terdahulu, Narimah, Goh, dan Profesor Madya Dr. Tan Mou Leong, (penyelaras Unit Geoinformatik PPIK) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Xi’an International Studies University.

Hasil daripada perjumpaan tersebut, dirancangkan agar kerjasama antara USM dan XISU dapat diperluas ke bidang-bidang lain.

Memorandum persefahaman (MoU) antara USM-XISU telah dimeterai dalam majlis perasmian oleh kedua-dua orang wakil pemimpin dari kedua-dua buah universiti ini, dan disaksikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Xi’an.

Teks: Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong 

  • Created on .
  • Hits: 611

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024