USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PIPPA USM-AKEPT: BEKERJASAMA ANJUR PROGRAM PENGURUSAN BAKAT UNIVERSITI

USM PULAU PINANG, 27 Oktober 2023 - Agenda pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan semakin penting kerana negara pada hari ini sedang melalui satu arus perubahan yang besar dalam melahirkan insan yang berkualiti dari segi ilmu, nilai dan keupayaan memimpin.  

WhatsApp Image 2023 10 28 at 18.18.21

Oleh itu, Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), baru-baru ini telah menganjurkan AKEPT Talent Development and Management (A-TanDem): Kolokium Pembangunan Kompetensi Peringkat Kebangsaan pada 27 Oktober 2023 yang lalu.

Berlangsung di Dewan Persidangan Universiti (DPU) USM, kolokium tersebut membawa tema “Pembangunan Kompetensi Tonggak Pengurusan Pelan Penggantian” yang mana mengangkat tiga objektif berbeza tetapi merupakan teras kepada A-TanDem 2023.

Tiga objektif tersebut adalah;
1. berkongsi pengetahuan bersama pakar-pakar bidang;
2. melihat model-model pelan pengantian yang dijalankan di organisasi terpilih;
3. mewujudkan rangkaian di kalangan peserta.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Azhar Ahmad mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dato’ Seri Dr. Zulkapli Mohamed menyampaikan ucaptama yang bertajuk “Pembangunan Kompetensi Tonggak Pengurusan Pelan Penggantian Sektor Awam” dan seterusnya merasmikan program tersebut.

WhatsApp Image 2023 10 28 at 18.18.13

Beliau berkata, pembangunan kompetensi dan pelan penggantian atau dikenali sebagai succession plannning saling berkait dalam memastikan kejayaan sesebuah organisasi. Tanpa kompetensi, pelan penggantian tidak akan mencapai objektif.

“Kepentingan kedua-dua aspek ini amat bertepatan dengan tema yang mana aspek pembangunan kompetensi dan pelan penggantian tidak dapat dipisahkan malah ianya menyokong antara satu sama lain,” kata Azhar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk. Dr. Mohd Zabri Yusoff dalam ucapan aluannya berkata pada tahun ini, AKEPT sekali lagi telah berusaha menganjurkan Kolokium seumpamanya dan berjaya menghimpunkan penyertaan dari 20 Universiti Awam dan dari Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

WhatsApp Image 2023 10 28 at 18.18.14

“Ini adalah satu perkembangan yang baik dan memberangsangkan kerana usaha dan inisiatif seperti ini menyediakan platform kepada pakar-pakar industri dan pendidikan tinggi berkongsi kerangka pemikiran dan amalan muktahir dalam Pengurusan Sumber Manusia yang bersandarkan kepada formula kompetensi,” kata Mohd Zabri.

Tambah Mohd Zabri, matlamat program ini adalah selari dengan tekad AKEPT untuk memperteguh sifatnya sebagai organisasi pembelajaran yang sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu.

Turut diselitkan dalam program adalah sesi pembentangan yang bertajuk Pelan Penggantian: Kepentingan Pelaksanaan oleh Pengerusi Institute of Corporate Directors Malaysia (ICDM), Tan Sri Zarinah Anwar dan sesi forum yang bertajuk Menjayakan Pelan Penggantian: Cabaran dan Peluang yang menampilkan panelis jemputan, Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Alauddin Sidal bersama Timbalan Pengarah AKEPT, Profesor Madya Dr. Azila Ahmad Sarkawi yang dimoderatorkan oleh Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Dr. Noor Hazlina Ahmad.

WhatsApp Image 2023 10 28 at 18.18.23

WhatsApp Image 2023 10 28 at 18.18.20

Hadir sama adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Pendaftar USM merangkap Pengarah PIPPA, Dato' Dr. Musa Ali serta pegawai-pegawai utama universiti.

Teks: Siti Fatimah Abu Mansor/Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 573

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024