MARA-STEMGREENTECH: MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN STEM DAN TEKNOLOGI HIJAU DALAM KALANGAN PENDIDIK DAN MURID MRSM PULAU PINANG
KEPALA BATAS, 25 Oktober 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baru-baru ini telah menganjurkan majlis perasmian penutup Program MARA-STEMGREENTECH iaitu sebuah program yang bertujuan untuk memperkuatkan pemahaman dan kebolehan para pendidik di MRSM Pulau Pinang dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta teknologi hijau pada 20 Oktober yang lalu.
Program ini memberi penekanan kepada elemen-elemen dalam Pendidikan STEM dan teknologi hijau seperti Microbial Fuel Cell, Rubber Band Technology, Probiotics, Antimicrobial Resistance, dan teknik motivasi untuk meningkatkan minat terhadap STEM.
Objektif program ini adalah untuk memberi ilmu STEM dan Teknologi Hijau kepada guru-guru di ketiga-tiga MRSM di Negeri Pulau Pinang, dengan harapan mereka dapat meningkatkan pengetahuan, sikap, dan amalan mereka dalam konteks kelestarian alam sekitar.
Sejajar dengan visi dan misi USM untuk "Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok", program ini telah bergerak seiring dengan keperluan global iaitu dengan menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang merupakan agenda global.
Program ini juga di bawah naungan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang juga merupakan “Ikon MARA” yang mana beliau berhasrat agar program ini dapat memberi manfaat kepada para pendidik MRSM, dengan membantu mereka dalam memahami STEM dan teknologi hijau, serta memotivasi mereka untuk menyampaikan pengetahuan ini kepada para murid MRSM.
Hadir bagi merasmikan program penutup adalah Pengarah, Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Dr. Ainul Mohsein Abdul Mohsin.
Ainul Mohsein dalam ucapannya berkata, program MARA-STEMGREENTECH ini bukan sahaja memperkukuhkan kepakaran peserta, malah ia juga membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, sejajar dengan SDG 8.
“Dalam suasana global yang semakin kompleks, nilai-nilai ini membawa inspirasi kepada peserta untuk mencipta solusi-solusi inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada masyarakat dan persekitaran, menumpukan kepada SDG 11 dan 13,” katanya.
Tambah Ainul Mohsein, sebagai sebuah institusi pendidikan, USM sentiasa komited mendukung agenda SDG untuk memperkasa komponen STEM bagi menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Sementara itu, Pengetua MRSM Kepala Batas, Haji Shauqi Mohd Noor berkata, program ini telah memberikan banyak input dan manfaat kepada para guru dan pelajar MRSM yang terlibat.
“Saya berharap agar segala perkongsian ilmu yang telah disampaikan oleh para akademia USM kepada semua guru yang terlibat dapat meningkatkan pengetahuan, sikap serta amalan para guru terhadap kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Menurut Pengarah Program MARA-STEMGREENTECH, Dr. Nor Asniza Ishak, yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM, beliau amat optimis dan komited untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) dengan menekankan bidang STEM dan Teknologi Hijau dalam kalangan pelajar sebagai persediaan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik serta memperkayakan kemakmuran ekonomi dalam memastikan kesejahteraan sosial dan ekonomi pada masa hadapan.
Harapan Asniza adalah program ini dapat menjadi wahana untuk memacu pendidikan berkualiti dengan mencapai agenda global SDG.
Program MARA-STEMGREENTECH telah berlangsung pada 5 Julai hingga 20 September 2023 yang lalu dengan penglibatan seramai 35 orang pendidik dari MRSM Kepala Batas, Balik Pulau, dan Transkrian melalui 8 siri bengkel pemindahan ilmu.
Program ini telah menyediakan komuniti dengan kemahiran, pengetahuan, sokongan dan platform berkaitan dengan STEM dan Teknologi Hijau demi pencapaian matlamat untuk meningkatkan atau menyediakan pendapatan tambahan, meningkatkan taraf hidup dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam masyarakat.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Dr. Nor Asniza Ishak (PPIP)
- Created on .
- Hits: 1401