RSY USM KENDALI SESI BERCERITA BERSAMA KANAK-KANAK TADIKA PUSAT ISLAM USM
USM, PULAU PINANG, 26 Oktober 2023 - Kelab RCE Sejahtera Youth (RSY) di bawah kelolaan Pusat Kepakaran Serantau (RCE Penang), Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS), Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengadakan satu sesi program bercerita bersama kanak-kanak.
Seramai 25 kanak-kanak dari Tadika Pusat Islam USM serta 7 orang pelajar ahli persatuan RSY telah terlibat dalam menjayakan program ini. Turut bersama membimbing dalam sesi tersebut adalah seorang pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) yang juga Felo Bersekutu RCE Penang, Dr. Rohaya Abdullah.
Program ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak melalui penceritaan sebagai usaha membina kreativiti dan menarik minat mereka untuk membaca.
Buku-buku cerita yang digunakan dalam sesi ini banyak menyentuh hal-hal berkaitan penjagaan alam sekitar, seperti pembuangan sampah, pencemaran dan perubahan iklim.
Kaedah ini diharap dapat membantu mereka dalam memahami suasana persekitaran mereka, selain bagaimana sebarang tindakan mereka dapat memberi impak kepada dunia serta mengembangkan keyakinan diri untuk berkomunikasi.
Buku-buku cerita kanak-kanak yang digunakan semasa program ini juga terdahulunya telah dihasilkan oleh 11 pelajar RSY, sebagai salah satu program yang telah dijayakan pada bulan Disember tahun lalu. Setelah tamat sesi bersama kanak-kanak ini, buku-buku tersebut juga telah dihadiahkan kepada kanak-kanak di tadika tersebut.
Diharapkan melalui program ini, secara tidak langsung ia akan dapat membantu kanak-kanak dalam menerima pendedahan awal tentang kepentingan penjagaan alam sekitar, serta meneruskan amalan membaca sebagai usaha memperolehi ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan matlamat pembangunan lestari (SDG) di masa hadapan.
Sumber dan Foto: RSY/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 458