USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLEKSI KHAS/PERSENDIRIAN ISMAIL ABDULLAH SERTA BICARA PENGKISAHAN: MENYELUSURI SEJARAH PENUBUHAN PUSAT PENGAJIAN SENI DAN PENCIPTAAN LAGU MENARA ILMU

WhatsApp Image 2023 10 24 at 11.52.27 PM

USM PULAU PINANG, 23 Oktober 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Arkib USM, Perpustakaan USM (PUSM) Kampus Induk telah menganjurkan Majlis Penyerahan Koleksi Ismail Abdullah dan Bicara Pengkisahan Menara Ilmu: Memori Pusat Pengajian Seni, di Ruang Pameran, Perpustakaan Hamzah Sendut (PHS) 1, baru-baru ini.

Majlis menyaksikan simbolik penyerahan Koleksi Ismail Abdullah kepada Arkib USM, PUSM. Koleksi Ismail Abdullah terdiri daripada buku-buku berkaitan dengan isu-isu seni, estetika, akademik dan sosio-budaya (Timur/Timur Tengah, Barat).

WhatsApp Image 2023 10 24 at 11.54.04 PM

Ia mencakupi ruang lingkup aqidah/tauhidiah, nilai rohaniah, sufisme dalam konteks seni dan kehidupan kontemporari, berteknologi serta pemikiran pascahumanis.

Koleksi Ismail Abdullah memperkukuhkan khazanah Koleksi Arkib USM dan akan memberikan manfaat kepada para pengkaji seni, media dan budaya, khususnya kepada ahli akademik, pengkaji serta pelajar sama ada di Pusat Pengajian Seni, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pusat Pengajian Komunikasi, Dewan Budaya mahupun pembaca/peminat seni budaya dan media di Malaysia amnya.

Dr. Ismail Abdullah merupakan mantan Pengarah Pusat Seni USM, mantan "Dekan Pengasas" Pusat Pengajian Seni (PPS) USM yang pertama, serta merupakan pencipta lirik lagu USM "Menara Ilmu”.

WhatsApp Image 2023 10 24 at 11.54.39 PM

Berlangsung selepas majlis adalah Bicara Pengkisahan Menara Ilmu: Memori Pusat Pengajian Seni yang menampilkan lsmail sendiri selaku ahli panel serta Mantan Pengarah Pusat Seni pertama, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ghouse Nasaruddin dan Mantan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) USM, Dato' Dr. Abu Talib Ahmad sebagai moderator.

Kedua-dua tokoh panel mengimbau kembali pengalaman mereka menubuhkan Pusat Pengajian Seni USM.

Program akademik berkaitan seni visual, muzik dan seni pementasan ketika itu ditawarkan di bawah PPIK USM. Namun program akademik ini lebih terfokus kepada disiplin akademik seni sastera berbanding seni praktikum studio dan persembahan.

Idea untuk mewujudkan Pusat Pengajian Seni itu bermula apabila tokoh-tokoh Pusat Seni dan Pensyarah Seni Kreatif yang berada di PPIK USM pada masa itu menyedari bahawa falsafah dan praktikum seni kreatif merangkumi seni visual, muzik dan persembahan telah menjadi begitu dinamik dan harus ditransformasikan setaraf dengan kehendak seni bersifat profesionalisme dan industri.

WhatsApp Image 2023 10 24 at 11.56.10 PM

PPS USM akhirnya diluluskan untuk ditubuhkan dan memulakan pengajian akademik pertamanya, iaitu B.F.A dan B.Mus. pada bulan Jun 1999.

Penawaran kedua-dua program terbaharunya ini menjadikan USM sebagai universiti terawal yang menawarkan program pengajian seni visual, seni persembahan dan seni muzik yang bersifat praktikum studio atau profesionalisme di Malaysia.

Ismail turut berkongsi sejarah menarik di sebalik penciptaan lirik lagu keramat USM "Menara Ilmu".

Lagu asal USM dikatakan dinyanyikan oleh Jimmy Boyle, pemuzik dan komposer terkenal dari Pulau Pinang. Namun, lagu USM itu telah kehilangan lirik, manakala skor muziknya masih tersimpan baik di pejabat Pendaftar USM.

WhatsApp Image 2023 10 24 at 11.55.05 PM

Ismail yang pada masa itu adalah Pengarah Seni ditugaskan untuk mengetuai projek untuk mencipta semula lirik tersebut dibantu oleh beberapa orang lagi dari Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Pendaftar, khususnya Mohamad Abdullah serta Bahagian Muzik Pusat Seni USM.

Dokumen dan manuskrip berkaitan penciptaan lagu "Menara Ilmu" dan penubuhan PPS USM turut diserah untuk disimpan di Arkib USM.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah mantan-mantan Dekan PPS USM iaitu Dr. A.S. Hardy Shafii; Dr. Mumtaz Begum Pv Aboo Backer; Pemangku Pengarah Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah USM, Afzanizam Mohd Ali; dan Penasihat Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dato' Ibrahim Ghafar bersama dengan Setiausaha 2 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Usman Gumanti Ibrahim dari Kuala Lumpur.

Rakaman penuh Bicara Pengkisahan Menara Ilmu: Memori Pusat Pengajian Seni boleh dilayari di: https://fb.watch/nNFGHjaeMR/?mibextid=Nif5oz .

Teks: Asma Wati Ibrahim & Dr. Ismail Abdullah/Foto: Krew Produksi Perpustakaan USM


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024