USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ILMU DAN PENDIDIKAN MAMPU MENGUBAH KEHIDUPAN, TEGAS NAIB CANSELOR

4c856bcf bdf0 4de2 b478 3cc4b4093e88
USM PULAU PINANG, 24 Oktober 2023 – “Ilmu dan pendidikan merupakan teras yang amat penting dalam membentuk pemikiran dan pegangan yang jitu, seterusnya mampu mengubah kehidupan seseorang itu keluar daripada kepompong kemiskinan.”
 
Itulah yang disuarakan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang mahukan setiap warga kampus dan masyarakat sentiasa memartabatkan ilmu dan pendidikan menuju ke arah kehidupan yang lebih baik.
 
Menurut beliau, pihak universiti sentiasa menyokong segala usaha aktiviti dan program memartabatkan ilmu pengetahuan di dalam kampus kerana masyarakat yang terisi dengan ilmu akan berupaya memandu diri dan keluarga kepada kehidupan yang sejahtera.
 
“Saya yakin dan percaya dengan adanya ilmu, kita akan mampu menghadapi cabaran menempuh dunia Revolusi Industri 4.0, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya sehinggalah yang menggantikan banyak peranan ‘manusiawi’ dan ‘insani’ dalam dunia pekerjaan dan muamalat harian,” jelas Abdul Rahman ketika hadir menyampaikan sijil Graduasi Akademi Baitul Hikmah 2023 anjuran Pusat Islam USM buat kali ke-8 di Dewan Persidangan Siswa 1, Kompleks Cahaya Siswa, di sini.
 
efcb9f26 3ea5 44dd bc7e 0e4e7faf6d61
Pada majlis tersebut Naib Canselor turut berkesempatan menyampaikan sijil-sijil Penyertaan Pra-Tahfiz 2022, Sijil Asas Pengajian Islam 2022 dan Sijil tamat Hafalan (5 juzuk) – Pro-Tahfiz 2022 di bawah program Pensijilan Islam kepada 40 orang graduan yang terdiri daripada pelajar USM, komuniti setempat dan pesara-pesara. 
 
Tambah Abdul Rahman, penyediaan program sebegini oleh Pusat Islam USM merupakan satu usaha yang mulia bagi semua terlibat kerana sentiasa berada dalam medan menuntut ilmu dengan mengisi masa yang berharga dengan mempelajari ilmu al-Quran dan disertai ilmu-ilmu Islam yang lain.
 
“Saya juga dimaklumkan program pengajian ini telah diperkenalkan pada tahun 2010 yang lalu dan tahun ini merupakan tahun yang pertama kita meraikan pelajar daripada Program Asnaf Baitul Hikmah, melalui inisiatif sumbangan korporat bagi menaja pelajar dan staf USM serta ahli Kariah Masjid Al-Malik Khalid USM untuk mengikuti Sijil Asas Pengajian Islam,” kata beliau.
 
Di majlis yang sama Abdul Rahman turut melancarkan sumbangan Infaq pendingin hawa bernilai RM70,000 yang akan diletakkan di Tabika Pusat Islam Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan.
 e34b065a a982 496a aa09 87bb0f8a50d3
Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari; Pengarah Program Majlis Graduasi Akademik Baitul Hikmah Ke-8 USM, Ustaz Nukman Ahmad Zakir; Wakil Pelajar Asnaf Baitul Hikmah Muhammad Hamidee Redzuan dan Penceramah Jemputan, Ustazah Noraini Mat Din.
 
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
  • Created on .
  • Hits: 421

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024