USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, AQILMED METERAI KERJASAMA TEROKA POTENSI KETUM TINGKAT IMUNITI HAIWAN PELIHARAAN

40a39889 483f 4965 a996 5cd48f999d15
 
USM PULAU PINANG, 24 Oktober 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan AQILMED Sdn.Bhd. telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi usaha mengukuhkan kerjasama pembangunan produk berasaskan ketum untuk meningkatkan imuniti dan kesejahteraan haiwan peliharaan.
 
Kerjasama strategik ini akan membawa kepada peluasan skop penyelidikan ketum oleh Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan (CDR) USM, di mana para penyelidik Pusat Penyelidikan tersebut bersedia untuk menawarkan kepakaran penyelidikan yang diperlukan oleh AQILMED.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR), Prof. Dr. Vikneswaran Murugaiyah berkata, kerjasama USM-AQILMED ini merangkumi penyelidikan yang lebih strategik dan saintifik bagi mengenalpasti manfaat ketum terhadap imuniti dan kesejahteraan kesihatan haiwan peliharaan.
 
a1f74d1f 3c12 4936 941d 14d1b87474ad
 
“Penglibatan CDR dalam penyelidikan ketum bukanlah perkara baru. Sejak dianugerahkan status Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada 2009, para penyelidik CDR telah memulakan penyelidikan pelbagai disiplin mengenai ketum, merangkumi kimia, farmakologi, neurosains dan sains sosial,” kata beliau ketika mewakili Naib Canselor di majlis Penandatanganan MoA di antara USM dan AQILMED Sdn. Bhd. yang diadakan di Bilik Persidangan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan, di sini.
 
Tambah Vikneswaran lagi, penemuan penyelidikan baharu mengenai ketum daripada CDR telah diterbitkan dalam lebih 100 penerbitan saintifik, menjadikannya sebagai institusi yang paling banyak menerbitkan hasil kajian ketum di dunia. 
 
“Penerbitan saintifik tersebut bukan sahaja menjadi rujukan institusi akademik nasional dan antarabangsa, tetapi juga untuk membantu membuat keputusan termaklum dalam hal berkaitan ketum oleh agensi kerajaan. 
 
“Dengan termeterainya kerjasama baharu dengan Aqilmed Sdn. Bhd. ini, ia akan membawa kepada peluasan skop penyelidikan ketum oleh CDR, yang mana para penyelidik Pusat tersebut bersedia untuk menawarkan kepakaran penyelidikan yang diperlukan,” kata beliau. 
 
7c4bdc9a 80dd 4f4c 8ad6 dc8e9b6e84f5
 
Di majlis yang sama, Pengarah AQILMED Sdn. Bhd., Jamaludin Elis berkata kerjasama ini merupakan titik tolak kepada penemuan baharu ketum yang bermanfaat untuk sains sosial dan tidak hanya setakat kontroversi yang dicanangkan di media massa mengenai tumbuhan tersebut.
 
“Sudah pastinya AQILMED amat mengalu-alukan kepakaran yang dimiliki USM bagi berkongsi hasil penemuan ini untuk diketengahkan di pasaran bagi manfaat kesejahteraan kumpulan sasar yang diinginkan,” kata beliau.
 
Yang turut hadir adalah Pengarah AQILMED Sdn. Bhd., Asyraff Muntazar Jamaludin; Timbalan Pengarah CDR USM, Dr. Siti Rafidah Yusof; Penyelidik bersama CDR USM, Dr. Farah Wahida Suhaimi, Dr. Juzaili Azizi, dan Nelson Chear Jeng Yeou.
 
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Faizal Ashraf Ali
  • Created on .
  • Hits: 698

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024