LEBIH 3,500 WARGA USM BERHIMPUN UNTUK SOLIDARITI KEPADA PALESTIN
USM PULAU PINANG, 20 Oktober 2023 – Warga Universiti Sains Malaysia (USM) berkumpul untuk melahirkan rasa simpati dan bersolidariti untuk saudara yang sedang melalui detik sukar akibat serangan bertalu-talu zionis di Palestin, yang mana sehingga kini meragut lebih ribuan nyawa yang tidak berdosa.
Menurut Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, Zulkifli Che Hussin yang juga Penasihat Program Himpunan Solidariti Perdana Bersama Palestin ini, USM menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk provokasi, pencerobohan dan kekejaman ke atas mana-mana negara berdaulat.
Paling mencuri tumpuan adalah sesi pidato yang disampaikan dalam pelbagai bahasa dimulai dengan Bahasa Melayu oleh Nazmi Hakimi (PP Komunikasi); Bahasa Arab oleh Nasser Farhan (PP Bahasa, Literasi dan Terjemahan); Bahasa Inggeris oleh Nurul Nabilah Ramly (PP Ilmu Kemanusiaan); Bahasa Mandarin oleh Kang Kim Hwee (PP Sains Kemasyarakatan); dan Bahasa Hindi oleh Alka Kaur (PP Sains Kemasyarakatan).
Seterusnya program diteruskan dengan deklamasi puisi oleh Mohamad Arif Esa (PP Ilmu Kemanusiaan); Nurul Izzati Mat Rodhi (PP Ilmu Pendidikan); Salleh daripada Yaman; dan diakhiri dengan Alumni USM, Shahmiey dengan puisi yang penuh dengan penghayatan.
Program yang berlangsung di Stadium Hoki, Kampus Induk, USM Pulau Pinang ini melibatkan lebih 50 buah pertubuhan pelajar USM yang turut serta bersolidariti, yang mana penyertaannya melibatkan semua kaum utama di Malaysia dan turut dihadiri oleh pelajar-pelajar antarabangsa.
Pertubuhan-pertubuhan pelajar ini juga mendokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16 iaitu Keamanan, Keadilan Dan Institusi Yang Kukuh melalui penganjuran program ini.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Afirul Idris Ayub Khan menyampaikan ucapan penutup dan beliau bersama Pengerusi Projek, Syakir Asyraf turut mengadakan sesi pembentangan memorandum daripada pihak pertubuhan pelajar mengenai isu ini.
Terdahulu program dimulakan dengan Ceramah Perdana oleh Penceramah dan Aktivitis NGO Aman Palestin, Da’i Saiful seterusnya solat Isyak, solat Hajat dan Qunut Nazilah diketuai oleh Ustaz Abhar Hazi Halim dari Pusat Islam USM, yang juga merupakan Qari Pulau Pinang.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah [Sektor Kompetensi Siswa, Pusat Pembangunan Bakat (TDC), BHEPA USM]/Foto: Muhammad Fikri [Unit Media dan Dokumentasi BHEPA USM]
- Created on .
- Hits: 529