PROGRAM ZUMBASTICS@USM: MENINGKATKAN KESEDARAN STATISTIK DI KALANGAN PELAJAR UNIVERSITI
USM PULAU PINANG, 20 Oktober 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) bersama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Pulau Pinang (DOSM) telah berkolaborasi untuk menganjurkan Program Zumbastics@USM, yang diadakan untuk kali pertama di kampus USM. Program ini turut diadakan bersempena dengan Hari Statistik Negara (HSN) 2023.
Dengan tema 'Statistik Nadi Kehidupan', HSN kali ini merupakan sambutan kali ke-7 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mahasiswa tentang kepentingan statistik dalam pembangunan negara.
Program riadah Zumbastics@USM juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara DOSM dan USM di bawah kerangka Memorandum Persefahaman (MoU). Selain itu, program ini turut menyumbang kepada sambutan Hari Sukan Negara yang disambut setiap tahun pada bulan Oktober.
Perasmian program Zumbastics@ USM ini disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Matematik USM, Profesor Dr. Hailiza Kamaruhaili@Harun yang mewakili Naib Canselor USM.
Menurut Hailiza, kerjasama antara USM dan DOSM menunjukkan komitmen USM dalam menyokong program dan aktiviti yang dianjurkan oleh DOSM.
“Saya berharap bahawa bidang kerjasama yang telah ditetapkan dalam MoU dapat diperluaskan seiring dengan pertumbuhan USM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara ini,” katanya.
Hailiza juga menekankan pentingnya keseimbangan antara pembelajaran, kesihatan, dan kehidupan keluarga dalam pengalaman pelajar universiti. USM akan terus menyokong program-program riadah dan ilmiah seperti Stats Talk dan Zumbastics untuk meningkatkan kecergasan, motivasi, serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Pengarah DOSM Negeri Pulau Pinang, Khairolnizam Hassan, menyatakan bahawa sambutan HSN adalah inisiatif penting dalam memupuk kesedaran statistik dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
“Saya berharap agar program-program seperti Zumba, Stats Talk, dan aktiviti lain yang dianjurkan akan membantu pensyarah dan pelajar memahami kepentingan dan kegunaan statistik dalam kehidupan sehari-hari,” kata Khairolnizam.
Program Zumbastics@USM merupakan langkah positif dalam memperluaskan pemahaman dan penghayatan terhadap statistik dalam kalangan pelajar universiti.
Kolaborasi antara USM dan DOSM menjanjikan kemajuan dalam bidang ini, dan diharapkan agar usahasama ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 625