USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKAMPUNGAN BUDAYA: BAHTERA MADANI MAMPU LAHIRKAN MAHASISWA/I YANG HOLISTIK, BERKEYAKINAN TINGGI DAN BERDAYA SAING

WhatsApp Image 2023 10 18 at 11.54.47 PM

USM PULAU PINANG, 18 Oktober 2023 – Buat julung kalinya, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjadi tuan rumah bagi Program Perkampungan Budaya: Bahtera Madani dengan penglibatan seramai 500 orang pelajar daripada Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Komuniti seluruh negara.

Perkampungan Budaya: Bahtera Madani merupakan sebuah program yang berprestij dan mampu melahirkan mahasiswa/i yang mempunyai semangat kerjasama yang tinggi tanpa mengira bangsa dan agama.

Program seumpama ini seterusnya membantu untuk melahirkan graduan yang mempunyai empati yang tinggi terhadap nilai sesuatu budaya bagi setiap kaum.

WhatsApp Image 2023 10 18 at 11.54.55 PM1

Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra USM malam ini, hadir bagi merasmikan program adalah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Profesor Dr. Azlinda Azman.

Azlinda dalam ucapannya berkata, program Perkampungan Budaya: Bahtera Madani adalah sebuah program yang mampu melahirkan pelajar-pelajar yang menerapkan enam teras utama MADANI iaitu KeMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, HormAt, KeyakiNan dan Ihsan.

“Saya menyeru semua pelajar untuk mengambil peluang ini menjadi siswa-siswi yang berfokus pada pembangunan sahsiah diri atau ‘character development’.

“Saya melihat Perkampungan Budaya: Bahtera Madani ini sebagai satu platform yang akan membentuk anda semua untuk menjadi graduan yang holistik, berkeyakinan tinggi dan berdaya saing,” kata Azlinda.

WhatsApp Image 2023 10 18 at 11.54.48 PM

Beliau berharap Malam Bahtera Madani ini akan memberikan nilai estetika yang lebih kepada para peserta, yang mana beliau percaya melalui program ini, para peserta akan menjadi orang yang hebat dan mampu berganding bahu dengan rakan-rakan berlainan bangsa, kaum dan budaya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapan aluannya berkata, seperti yang diperkatakan KPPT, beliau melihat program ini sebagai satu platform yang mampu menjadikan para peserta sebagai graduan yang holistik dan berhemah tinggi.

WhatsApp Image 2023 10 18 at 11.54.56 PM

“Dalam kita mengejar pembangunan, aspek diversiti dalam kebudayaan kita masih dikekalkan dan dipelihara sebaiknya.

“Sebagai insan berilmu, jika bukan kita, siapa lagi yang akan memartabat dan memperkasakan keunikan budaya di Malaysia, yang mana keindahan dalam kepelbagaian dan keharmonian yang diwariskan ini harus terus dipelihara agar ia dapat dirasai oleh generasi yang akan datang,” tambah Abdul Rahman.

Program turut menampilkan 12 persembahan Malam Bahtera Madani daripada lebih 20 pasukan dari universiti awam, IPG, Politeknik dan Kolej Komuniti.

WhatsApp Image 2023 10 18 at 11.54.58 PM

Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Putra Malaysia merangkap Pengerusi Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM), Profesor Dr. Arifin Abdu; Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor HEPA USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Timbalan-timbalan Naib Canselor HEPA UA; Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Hirman Awang@Semail; Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, USM merangkap Penasihat Perkampungan Budaya: Bahtera Madani 2023, Zulkifli Che Hussin; dan Pengarah Program Perkampungan Budaya: Bahtera Madani 2023, Nurul Atirah Suhaimi.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 654

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024