THE KAPIT'S BUKTI KEJAYAAN PELAJAR
PULAU PINANG, 20 Mei - Tanggal 20 Mei 2015 merupakan hari bersejarah bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Mohamad Shafiq Kamaruddin dengan kejayaan pembukaan rasmi kafe The Kapit's di Desasiswa Cahaya Gemilang di kampus USM Pulau Pinang.
Bermula pada awalnya dengan kedai berkonsep terbuka di Desasiswa Tekun dua tahun yang lalu, berkat usaha gigih usahawan muda ini dengan bantuan Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang yang juga pensyarah keusahawanan Mohd Shafie Arifin dan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Desasiswa Cahaya Gemilang, Mohamad Shafiq berjaya menubuhkan kafe di desa ini yang berkonsep tertutup ala santai bermodalkan wang hampir RM9,000 tidak termasuk untuk pembelian aset.
The Kapit's menyajikan menu utama iaitu Ais Krim Goreng yang juga merupakan menu kejayaan bagi Mohamad Shafiq yang sangat meminati bidang Keusahawanan dan Perniagaan walaupun beliau mengikuti jurusan ilmu pendidikan di USM.
"Saya lakukan apa yang orang lain tidak lakukan, jadi pada masa hadapan saya tidak perlu lakukan apa yang orang lain sudah lakukan," kata Mohamad Shafiq yang baru-baru ini turut menerima dua anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Malaysia.
Mohamad Shafiq juga menegaskan bahawa pelajaran masih perkara utama baginya namun bukan bermakna perniagaan perkara kedua kerana itu masa lapangnya amat terhad untuk bersuka ria yang perlu diurus sebaik mungkin.
"Masa dan komitmen adalah segalanya tanpa terlalu mengharap pertolongan dari orang kerana kita perlu menolong diri kita sendiri untuk mengecapi kejayaan," ujar Mohamad Shafiq ketika berucap dalam majlis pembukaan kafenya.
Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang diberi penghormatan merasmikan kafe tersebut berkata para pelajar USM perlu berdikari dan mengikut jejak langkah seperti Mohamad Shafiq untuk berjaya serta berusaha sendiri tanpa menunggu meminta sesuatu.
"Pelajar Ilmu Pendidikan seperti Mohamad Shafiq yang berjaya dalam bidang Keusahawanan ini menunjukkan bahawa tidak ada halangan untuk pelajar mencapai kejayaan namun yang penting mereka perlu mempunyai kesungguhan dan kesabaran yang tinggi," kata Omar.
Omar yang mengikuti perkembangan The Kapit's sejak penubuhannya pada 2013 di Desasiswa Tekun mengucapkan tahniah kepada Mohamad Shafiq serta mengharapkan The Kapit's akan pergi lebih jauh lagi.
Ilham mendapatkan nama The Kapit's timbul ketika Mohamad Shafiq membuat lawatan ke Indonesia dan melihat bagaimana cara menu ais krim dikapit roti dilakukan. Kini Mohamad Shafiq mampu menggaji dan mempunyai staf seramai 10 orang yang mengendalikan The Kapit's tidak termasuk pengurus dan akauntan.
The Kapit's beroperasi dari jam 6.00 petang sehingga 12.00 tengah malam setiap hari dan menyajikan menu utama aiskrim goreng serta kepelbagaian menu lain seperti roti impit serta aiskrim kon. The Kapit's turut menyediakan perkhidmatan penghantaran di sekitar kampus USM.
Turut hadir ke majlis perasmian ini adalah Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang Mohd Shafie Ariffin serta Penolong Penggawa, Hassan Abdullah dan Salina Abdul Samad .Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah/ Foto : Mohd Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 2906