PENSYARAH PPPJJ USM MEMPERKASAKAN PENDIDIKAN SAINS DAN TEKNOLOGI DI SKJB
USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2023 – Sekumpulan pensyarah dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi telah membuktikan keberhasilan Program Memperkasakan Bidang Sains dan Teknologi yang dijalankan di Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu (SKJB), Perai.
![]() |
![]() |
Projek-projek yang dihasilkan dalam program tersebut meraih satu pingat emas dan dua pingat gangsa dalam Pameran Inovasi Eureka Antarabangsa 2023 (International Eureka Innovation Exhibition 2023, i-EIE 2023).
Program tersebut dijalankan melalui Geran Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM dan telah berlangsung pada 11 Oktober 2023, di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Malaysian Spanish Institute, Kulim Kedah.
Seramai 14 orang pelajar dan 4 orang guru dari SKJB terlibat dalam pertandingan tersebut.
Kemenangan pingat emas diperoleh melalui projek inovatif "Grammapoly," sementara pingat gangsa diperoleh melalui projek "Bahan Kalis Air Semulajadi berasaskan Malus domestica" dan "Peranti Pembersih Berus Warna."
Menurut ketua program, ChM. Anis Tasnim Md. Yusof, projek-projek yang dikemukakan untuk i-EIE 2023 merupakan projek-projek yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk ditambah baik dan kemudiannya dikomersialkan, yang mana proses ini dimulakan semasa pertandingan inovasi di peringkat sekolah, melibatkan 50 peserta program sebelum ini.
![]() |
![]() |
Beliau turut menekankan bahawa penyertaan dalam pertandingan inovasi tersebut telah meningkatkan minat dan mendedahkan pelajar SKJB kepada inovasi baharu dalam bidang sains dan teknologi.
"Program ini berperanan sebagai kaedah untuk meningkatkan prestasi pembentangan, memotivasi diri pelajar, dan mengukuhkan kemahiran komunikasi terutamanya semasa melakukan pembentangan.
"Selain itu, program ini juga membantu mereka membina keyakinan diri dan menjuruskan minat mereka ke bidang sains dan teknologi apabila mereka melangkah ke alam persekolahan menengah dan seterusnya ke universiti," katanya lagi.
Selain itu, program yang diadakan di sekolah itu telah membuka jalan dan memupuk semangat dalam diri pelajar dan guru SKJB untuk terus memartabatkan bidang sains dan teknologi di sekolah, dengan harapan untuk menyertai lebih banyak lagi pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada masa akan datang.
Teks & Foto: ChM. Anis Tasnim Md. Yusof (PPPJJ)/Suntingan: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi
- Created on .
- Hits: 481