USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAHUT SARANAN KPT, RSLS PROGRAM FLAGSHIP PACU AGENDA PEMERKASAAN MAHASISWA PERINGKAT ANTARABANGSA

PADANG, SUMATERA BARAT, 24 September 2023 – Regional Student Leadership Summit (RSLS) 2023 telah berjaya menampakkan hasil holistiknya yang tersendiri bukan sahaja kepada mahasiswa tetapi kepada seluruh barisan peserta dan pegawai yang hadir.

WhatsApp Image 2023 10 18 at 10.28.05 AM

Pengisian programnya yang berimpak dan memberi nilai tambah buat semua meliputi skop-skop kesukarelawanan, kepimpinan, keusahawanan, khidmat komuniti dan perusahaan sosial dapat diambil sebagai model untuk diaplikasikan di Universiti masing-masing dalam merancakkan lagi agenda pemerkasaan mahasiswa bukan sahaja di dalam negara malahan ke peringkat antarabangsa.

Menurut Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, Hirman Awang ketika merasmikan program RSLS, program ini mempunyai prestijnya tersendiri kerana ia membuka peluang kepada pemimpin pelajar untuk memperkasakan bakat kepimpinan mereka di peringkat serantau.

“Pihak KPT amat menghargai penganjuran program sebegini kerana ia menjurus kepada pembangunan agenda pemerkasaan pelajar yang lebih baik selaras dengan polisi yang telah digariskan meliputi pemerkasaan mahasiswa,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran RSLS kali ketiga tidak mustahil untuk dianjurkan di Istanbul, Turki.

Timbalan Pengerusi Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM) merangkap Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Martadha Mohamed pula memuji penganjuran persidangan ini yang diuruskan oleh mahasiswa sepenuhnya.

“Sebagai menyahut agenda pemerkasaan mahasiswa yang dibawa oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, penglibatan mahasiswa sepenuhnya telah membantu mereka memperoleh pengalaman di luar kuliah yang sangat berharga terutama kemahiran menguruskan acara di peringkat antarabangsa dan kemahiran berunding dengan pihak-pihak yang terlibat secara langsung dalam penganjuran persidangan ini,” jelasnya.

WhatsApp Image 2023 10 18 at 10.28.19 AM

Ujarnya lagi, idea RSLS yang diilhamkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dr. Azlinda Azman telah berjaya mengumpulkan peserta dalam kalangan pemimpin pelajar di semua peringkat dari IPTA dan IPTS Malaysia-Indonesia dan beberapa negara ASEAN yang lain.

Profesor Azlinda turut berbangga dan memuji penganjuran RSLS kali ini serta menyarankan supaya program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang.

Sementara itu tambah Martadha lagi, persidangan ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan terutama bagi mengenengahkan bakat pemimpin mahasiswa dalam menguruskan persidangan di peringkat antarabangsa dan menjalin hubungan strategik dengan pemimpin mahasiswa lain di universiti-universiti di Eropah dan Amerika.

Rata-rata peserta yang ditemui berpandangan program ini merupakan sebuah program yang dapat mencungkil serta mengenengahkan bakat mahasiswa untuk berkolaborasi dan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa.

Mereka juga memuji pembentangan daripada para peserta program yang meliputi amalan-amalan terbaik daripada setiapnya dan ia dapat menjadi salah satu ilmu dan output yang baik sebagai agen pemindahan ilmu antara peserta.

Seramai 250 orang merangkumi peserta dan pembentang menyertai RSLS yang mewakili 19 universiti awam dan 1 universiti swasta Malaysia serta 3 universiti luar negara dan persidangan kali ini telah berjaya menyaksikan hampir 70 artikel telah dibentangkan dan akan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Bagi Pengarah Program RSLS, Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi pula, program RSLS ini merupakan platform yang baik untuk memperkasa mahasiswa berkolaborasi antara satu sama lain di peringkat serantau dan pemilihan Universitas Negeri Padang (UNP) sebagai lokasi penganjuran persidangan adalah satu yang baik kerana dapat mengeratkan hubungan Malaysia-Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi.

Beliau daripada UTHM mewakili mahasiswa di Malaysia turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat UNP dan seluruh peserta yang telah memberi komitmen yang tinggi untuk menjayakan program ini.

Bagi peserta yang merupakan pegawai universiti awam (UA), Mazlifendirizan Md Rejab, program ini memberi pendedahan baik buat mahasiswa dalam mengendalikan dan menyelaras program hingga ke peringkat antarabangsa walaupun terdapat pelbagai cabaran dan halangan yang perlu dilalui.

WhatsApp Image 2023 10 18 at 10.28.31 AM

“Ini telah membuktikan serta merupakan salah satu titik tolak dalam agenda pemerkasaan mahasiswa yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Mahasiswa yang bertindak sebagai penyelaras utama program ini umumnya telah berjaya menjalankan tugas masing-masing serta melancarkan urusan melalui kolaborasi bersama mahasiswa daripada Indonesia,” katanya.

Selain itu, kaedah-kaedah perkongsian ilmu yang dijalankan dalam pengisian program lebih teratur serta bersifat akademik dan meluas sesuai dengan perkembangan pemesatan ilmu masa kini yang lebih universal,” jelasnya.

Selain itu tambahnya, banyak idea, cadangan dan hasil penyelidikan yang dibentangkan ketika program ini dapat diketengahkan lantas ia memberi petunjuk untuk melatih mahasiswa mendalami ciri-ciri kepimpinan yang unggul dalam era cabaran pendidikan tinggi zaman pasca Covid-19.

Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Afirul Idris Ayub Khan, RSLS bertujuan memberi kesempatan kepada mahasiswa untuk saling bertukar pendapat mengenai topik-topik serantau yang terkini dan perlu difahami semua golongan mahasiswa.

“Melalui pengisian persidangan ini, ia dapat memberikan pengalaman yang baru kepada mahasiswa di samping mempelajari budaya dan kehidupan masyarakat di Sumatera Barat,” ujarnya yang juga merupakan Bendahari Program.

Selain daripada persidangan, program Students for Society (S4S) bersama masyarakat setempat di Pantai Gajah Padang dalam mempromosikan kesedaran tentang penjagaan kebersihan dan kitar semula secara maksimum melalui pendekatan modul pemindahan ilmu yang diketengahkan oleh mahasiswa kepada masyarakat turut diadakan dalam memperkasa dan mempromosi elemen Sustainable Development Goals (SDG).

Persidangan RSLS 2023 berlangsung di Universitas Negeri Padang daripada 21 - 25 September 2023. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) melalui Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM) dan 3 universiti awam iaitu USM, UKM dan UTHM telah diberi tanggungjawab sebagai sekretariat utama.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah (Pusat Pembangunan Bakat, BHEPA) 

  • Created on .
  • Hits: 393

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024