USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR USM TERIMA DARJAH KEBESARAN PULAU PINANG, BAWA GELARAN DATO’ SERI

WhatsApp Image 2023 10 17 at 2.49.08 PM

USM PULAU PINANG, 17 Oktober 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyertai senarai penerima Darjah Kebesaran Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak, hari ini.

Abdul Rahman, 59, pakar dalam bidang nanosains dan nanoteknologi yang telah menerbitkan lebih 500 hasil penyelidikan serta prosiding persidangan dianugerahkan dengan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Anak jati Pulau Pinang yang mula menyandang jawatan sebagai Naib Canselor Ke-9 USM pada Januari lalu, turut terkenal dengan pencapaian luar biasa di peringkat antarabangsa termasuk mengungguli Anugerah Highly Cited Researcher untuk tahun 2018, 2019 dan 2021 oleh Clarivate.

Dalam bidang penyelidikan pula, beliau yang juga terkenal sebagai Ikon MARA/MRSM turut telah menerima lebih daripada 80 geran penyelidikan daripada organisasi nasional/antarabangsa melebihi nilai RM25 juta.

Pencapaian penyelidikan yang cemerlang membawa beliau memenangi lebih 60 anugerah/pengiktirafan di peringkat nasional/antarabangsa seperti Anugerah Malaysia Toray Science Foundation dan Top Research Scientists Malaysia pada tahun 2012, Malaysia’s Rising Star Award pada tahun 2015 dan pelbagai lagi.

Abdul Rahman ketika ditemui berkata, “Saya amat terharu dan berterima kasih atas penganugerahan ini. Ia menjadi antara pengiktirafan yang cukup besar sepanjang karier saya dalam bidang pendidikan dan membina anak bangsa.

“Ia satu perjalanan yang penuh liku-likunya namun saya amat bersyukur kerana dapat menyumbang dalam membangunkan bidang ilmu pengetahuan, dan membina modal insan yang bakal meneraju negara di masa hadapan,” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat semua pihak yang turut sama menggembleng tenaga dalam memperkasakan USM dan menyifatkan pengalamannya hampir 30 tahun bersama USM sebagai satu perjalanan luar biasa demi perjuangan untuk memartabatkan bidang ilmu.

Abdul Rahman yang turut dilantik sebagai Ketua Kumpulan Fokus Industri untuk Pelan Induk Sains, Teknologi, Inovasi Malaysia (STIMP) (2020-2030), memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK), USM pada tahun 1993 dan merupakan di antara pengasas Pusat Pengajian tersebut.

Selain itu, turut dianugerahkan DGPN ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Suhaily Mohd Zain; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan ramai lagi.

  • Created on .
  • Hits: 234

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024