BICARA CITRA MERDEKA: USAHA USM PUPUK SEMANGAT PERPADUAN DAN PATRIOTISME
USM PULAU PINANG, 16 Oktober 2023 – Generasi belia masa kini seharusnya sentiasa didedahkan dengan pengetahuan sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara Malaysia yang mampu menjadi penggerak kepada usaha kerajaan untuk memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan generasi muda masa kini.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kesedaran tentang kemerdekaan dan semangat patriotisme di negara ini khususnya buat generasi muda amat penting dan selari dengan visi Kementerian Perpaduan Negara untuk menjadi peneraju perpaduan yang inklusif ke arah kemakmuran bersama.
Kata beliau, USM sentiasa menitikberatkan penganjuran program-program yang berorientasikan perpaduan dan cintakan negara supaya generasi muda sentiasa mengambil tahu erti dan sejarah kemerdekaan di negara ini.
“Saya dan pihak Pengurusan Tertinggi Universiti amat menyokong dan menggalakkan program sebegini diadakan kerana ianya merupakan medium yang sangat sesuai untuk memberi pendedahan kepada orang ramai, khususnya generasi muda dan golongan belia akan pentingnya memiliki pengetahuan tentang sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara ini,” kata beliau ketika merasmikan program Bicara Citra Merdeka dan Diskusi Ilmu Perkampungan Budaya: Bahtera Madani 2023 anjuran bersama Pusat Pembangunan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM dan Arkib Negara Malaysia di Dewan Budaya, di sini.
Tambah Abdul Rahman, penyertaan program kali ini yang melibatkan mahasiswa dari 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini diharapkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin golongan mahasiswa, sekaligus membolehkan mereka lebih menghargai apa yang dimiliki dan sedar akan peranan mereka sebagai generasi penerus untuk menjaga dan menerajui negara ini.
”Saya difahamkan selain Bicara Citra Merdeka, Arkib Negara turut menyediakan pameran mengenai perpaduan yang tentunya mengandungi maklumat yang cukup bermanfaat untuk kita semua.
“Saya juga yakin dan percaya kita dapat memupuk semangat nasionalisme dan perpaduan melalui perkongsian dan diskusi ilmu yang disampaikan oleh panel-panel, yang sememangnya mempunyai pengetahuan dan kepakaran yang mendalam tentang topik yang dibicarakan,” kata beliau lagi.
Yang turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah Sektor Penyelidikan dan Pengembangan, Arkib Negara Malaysia, Mokhtaruddin Lamsin; Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, USM merangkap Penasihat Program Perkampungan Budaya: Bahtera Madani 2023, Zulkifli Che Hussin; Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia, Hanizah Jonoh; dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Pulau Pinang, Mohamad Shariman Sahar.
Manakala barisan panel jemputan Bicara Citra Merdeka kali ini terdiri daripada Felo Kanan, Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong; Pensyarah Sosiologi Politik USM, Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian; dan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi yang berkongsi ilmu bertajuk ’Perpaduan Kaum dalam Kerangka Malaysia Madani’, dengan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar sebagai moderator.
Program tersebut mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dengan dihadiri lebih 300 peserta.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 363