ISDEV USM-AYG JALIN KERJASAMA PENUHI KEPERLUAN KOMUNITI
SUNGAI NIBONG, 13 Oktober 2023 - Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Adab Youth Garage (AYG); Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Wakaf Pulau Pinang (WPP) dengan sokongan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini telah menganjurkan Majlis Perasmian Pusat Interaksi Belia (PIB) Etiqa-AYG di Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah Sungai Nibong, Pulau Pinang.
Hadir bagi merasmikan program adalah Timbalan Ketua Menteri 1, Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid bersama-sama Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
Diselitkan dalam program adalah Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dengan AYG, yang mana kerjasama ini dimeterai secara rasmi bagi memperkasakan aktiviti penyelidikan dan latihan secara bersama, dan penyerahan mock key Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah kepada peserta MASA@Sungai Nibong. Pelaksanaan projek MASA@Sungai Nibong yang dimulakan atas cetusan idea oleh Pengasas ISDEV USM, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh.
Mohamad dalam ucapan perasmiaannya berkata, pusat yang dirasmikan ini bukan sekadar bangunan tetapi ianya merupakan wadah penting yang akan membawa makna dan manfaat yang besar kepada belia dan komuniti sekitar pangsapuri tersebut serta keseluruhan Pulau Pinang.
“Kerjasama erat antara ISDEV USM dengan AYG membuktikan betapa pentingnya pemikiran bersama dalam membantu generasi muda kita mencapai potensi penuh mereka. Penggabungan sumber daya dan kepakaran universiti secara tidak langsung dapat bersama-sama memberikan pendidikan yang lebih berkualiti dan peluang yang lebih besar kepada generasi muda kita,” kata Mohamad.
Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, USM melalui agenda Pemacuan Untuk Kecemerlangan APEX memfokuskan dalam membantu komuniti melalui usaha penyelidikan dan inovasi serta melihat inisiatif-inisiatif yang membantu pembangunan negara dan perubahan sosioekonomi komuniti, yang mana usaha ini lebih berfokus kepada inovasi sosial dan penyelidikan yang berteraskan kepada keperluan komuniti.
“ISDEV secara khususnya dilihat memenuhi keperluan komuniti kerana telah menaikkan nama USM di bawah bidang pembangunan dan pengurusan secara lebih khusus Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam sehingga diiktiraf senat sebagai salah sebuah Pusat Kecemerlangan pada tahun 2014,” katanya.
Tambah Abdul Rahman, beliau bersyukur dan mengucapkan syabas kepada semua Ahli Projek MASA@Sungai Nibong kerana telah berusaha dan berjaya meningkatkan kemahiran dan bakat komuniti, yang mana beliau yakin dengan bimbingan berterusan daripada ISDEV, komuniti dapat mencapai apa jua bidang yang diusahakan.
Majlis diserikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran surah Al-Munafiqun dan persembahan Nasyid Asmaul Husna daripada kanak-kanak PIB Etiqa Cares Pangsapuri Wakaf Siti dan Hajjah Norijah.
Hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa General Insurance Berhad, Fukhairudin Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali; Ketua Pengarah Eksekutif AYG, Muhammad Nizam Samsudin; Memangku Ketua Pengarah Eksekutif, Hafizudin Sirajudin; Memangku Pengarah ISDEV USM, Dr. Azrin Ibrahim dan Ketua Projek Makmal Sosio-Akademik di Pangsapuri Wakaf Siti & Hajjah Norijah, Sungai Nibong (MASA@Sungai Nibong), Profesor Kehormat ISDEV, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh dan Dr. Shereeza Mohamed Saniff.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 487