NC USM SERU MAHASISWA/I FOKUS HIDUPKAN ROH APEX
USM PULAU PINANG, 13 Oktober 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menghidupkan kembali Majlis Sambutan Siswa Lestari yang merupakan simbolik kepada pelajar baharu Sidang Akademik 2023/2024 yang kini bergelar sebagai warga, keluarga dan mahasiswa/i USM secara rasminya.
Berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyampaikan amanatnya dengan memperkenalkan program-program yang dibangunkan khas oleh USM dengan lebih terperinci.
Dalam sesi tersebut, Abdul Rahman menyeru semua pelajar untuk bersama-sama memberi fokus dalam mengembalikan roh APEX melalui enam kerangka MADANI yang diperkenalkan.
“Ianya adalah sebagai satu proses untuk menginsankan pendidikan, membentuk serta melahirkan graduan yang mempunyai kemanusiaan yang ‘high touch’ dan pada masa yang sama turut menguasai ‘high technology’,” katanya.
Abdul Rahman memberikan gambaran serta usaha Universiti dalam membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan warga USM untuk bersama-sama menjayakan agenda kelestarian universiti melalui 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG).
Beliau juga berpesan kepada para pelajar untuk mewarnakan kehidupan mereka sepanjang berada dalam pengajian di universiti dengan menyertai persatuan dan pertubuhan pelajar serta memanfaatkan kemudahan dan fasiliti sukan yang terdapat dalam USM yang mana kesemua pelaksanaan program dan penyediaan infrastruktur merupakan salah satu strategi pemerkasaan mahasiswa.
“USM mengharapkan graduan yang bakal dilahirkan kelak adalah graduan yang menguasai elemen HEBAT iaitu Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking, yang mana saya percaya para pelajar dapat mengembangkan bakat masing-masing ketika menuntut di menara ilmu ini,” katanya mengakhiri ucapan tersebut.
Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Afirul Idris Ayub Khan menyeru semua pelajar baharu untuk menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia untuk bergiat aktif dalam segala perkara bagi memperkasakan diri menghadapi dunia yang bersifat VUCA iaitu; Volatility (tidak stabil); Uncertainty (tidak pasti); Complexity (bersifat rumit) dan Ambiguity (bersifat kabur).
Majlis turut dimeriahkan dengan formasi alunan ombak dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera USM serta tarian dan nyanyian dari kumpulan Adikarma USM. Turut mencuri tumpuan adalah sorakan USM yang dibimbing oleh Pembimbing Pelajar Siswa Lestari (PPSL) USM.
Selain pengalaman mengujakan itu, diselitkan juga upacara Lafaz dan Tandatangan Ikrar oleh pelajar baharu serta Upacara Penyerahan Ikrar Pelajar Baharu kepada Naib Canselor USM.
Hadir sama adalah Timbalan-Timbalan Naib Canselor USM dan barisan Pengurusan Tertinggi Universiti.
Seramai 4,696 pelajar baharu telah mendaftarkan diri secara fizikal di USM bagi Sidang Akademik 2023/2024.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 561