PUSAT ISLAM USM RAI KEMASUKAN PELAJAR BAHARU, PENUHI KONSEP MADANI SERTA SDG 1 DAN 2
USM PULAU PINANG, 12 Oktober 2023 - Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Jamuan Madani di Masjid Al-Malik Khalid USM bagi meraikan pelajar baharu USM bagi Sidang Akademik 2023/2024.
Hadir bagi menyambut dan menyantuni pelajar baharu bagi sidang tersebut adalah Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin bersama dengan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan disertai kenamaan lain.
Menurut Abdul Rahman, jamuan tersebut merupakan inisiatif bagi menjayakan konsep Madani dengan memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 1 dan 2 iaitu Tiada Kemiskinan dan Kelaparan Sifar.
“Jamuan yang diadakan ini tidak mengira bangsa dan agama, yang mana Pusat Islam menyediakan menu ‘vegetarian’ dan ‘non-vegetarian’.
“Program ini akan diteruskan pada setiap hari dengan kapasiti 100 orang terutamanya kepada golongan yang memerlukan,” kata Abdul Rahman.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Haji Mohammad Shukri Osman berkata, Pusat Islam USM telah menyediakan makanan untuk menampung sebanyak 3,000 orang pelajar baharu di USM Induk untuk program ini.
“Pusat Islam USM juga akan mewujudkan Dapur Siswa atau jamuan mingguan pada setiap hari Jumaat, dengan menyasarkan makanan percuma untuk 300 hingga 400 orang pelajar USM,” tambah Mohammad Shukri.
Turut diselitkan adalah penyerahan Bantuan Zakat: Kit Keperluan Asas kepada pelajar pesakit Kanser Tuberkulosis melalui Program Asnaf Prihatin, serta sumbangan berjumlah RM24,000 kepada 400 orang pelajar yang terpilih dalam kumpulan asnaf.
Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat merangkap Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun@Kamaruddin dan Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), Profesor Dr. Asrul Akmal Shafie.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 511