USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TAWAR PROGRAM AKADEMIK BERIMPAK TINGGI DI KUALA LUMPUR: SASAR PENINGKATAN 100 PERATUS ENROLMEN PASCASISWAZAH

WhatsApp Image 2023 10 09 at 12.48.06 PM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah strategik dalam menyerlahkan keterlihatannya melalui transformasi dan penjenamaan semula kampusnya di Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai USM@KL.

USM@KL adalah pusat pembelajaran dan penyelidikan yang terletak di tengah-tengah pusat bandaraya Kuala Lumpur dan menawarkan program-program ijazah tinggi yang kompetitif, berdaya saing dan bernilai tinggi.

387120766 741950981304987 6500275159643690716 n

Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, transformasi USM@KL yang dahulunya beroperasi di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak ke MoF Inc Tower, Persiaran KLCC adalah bertepatan dengan keadaan semasa.

Katanya, keberadaan USM di Kuala Lumpur dapat mengukuhkan jaringan industri antara universiti dan pelbagai syarikat korporat dan organisasi antarabangsa di sini, selain membuka lebih banyak peluang untuk golongan profesional di ibu negara melanjutkan pengajian.

“Landskap pendidikan hari ini telah berubah. Universiti menghadapi pelbagai cabaran baharu dan salah satunya adalah perubahan teknologi dalam pembelajaran yang begitu pesat.

“Selain itu, Universiti juga perlu kreatif dalam mencapai kemandirian kewangan. Universiti harus bergerak cepat, tangkas dan pantas dalam menggerakkan program pemandirian kewangan untuk kekal relevan dan berdaya saing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mercu tanda baharu USM di pusat bandaraya itu, baru-baru ini.

387746616 741895111310574 92523333646862330 n

Hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Ahli-ahli Lembaga Gabenor serta pegawai-pegawai utama USM.

Abdul Rahman pula dalam ucapannya berkata, USM berusaha untuk menyerlahkan keterlihatannya dengan mengoptimumkan penawaran kursus-kursus berimpak tinggi dan suasana pembelajaran yang kondusif di USM@KL.

Katanya, USM@KL turut dilengkapi dengan makmal komputer, ruang kelas berkapasiti sehingga 100 orang, RFID Self-Check Library System, bilik kaunseling, Bilik EEG (Electroencephalogram), Sistem Telesidang Video, Internet berkelajuan tinggi and lain-lain.

“Jumlah enrolmen pelajar kini telah meningkat kepada 463 orang dari cuma 61 pada tahun 2012. USM akan meningkatkan 100 peratus enrolmen dengan adanya lokasi baru yang lebih strategik dan mudah diakses ini,” ujar beliau.

Beliau turut berkata, USM@KL kini menawarkan tujuh program Sarjana dan Doktor Falsafah termasuk tiga program joint-degree antara USM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Jelasnya lagi, proses transformasi itu selaras dengan Teras Ketiga dalam Kerangka MADANI yang memfokuskan pada Teras Daya Cipta iaitu Pembaharuan dan Pembudayaan Modal Insan ke arah pembangunan negara yang lebih mampan dan makmur.

Dalam pada itu, USM@KL berada pada lokasi yang amat strategik di Persiaran KLCC dengan akses kepada pelbagai kemudahan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan Bas Go KL.

Ia juga terletak berlatarbelakangkan beberapa mercu tanda penting dan bangunan pencakar langit seperti Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Tun Razak Xchange (TRX), Menara Felda, Naza Tower dan banyak lagi.

Sejarah penubuhan

USM@KL yang dahulunya dikenali sebagai Institut Pengajian Siswazah USM@KL telah ditubuhkan pada 1 November 2013. Pada Jun 2018, pusat ini telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Sains@KL. Pada 16 November 2022, selaras dengan proses transformasi yang berlaku, ia  dijenamakan semula dengan nama USM@KL.

Sejak ditubuhkan pada 2013, USM@KL beroperasi dari Aras 7 & 8 di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Selaras dengan peningkatan jumlah pelajar, khususnya pelajar antarabangsa dan warga profesional, maka terdapat keperluan yang mendesak untuk ruang yang lebih luas dan suasana pembelajaran yang lebih kondusif and menarik.

Rentetan dari itu, projek transformasi USM telah dimulakan dengan fasa perpindahan USM@KL dari bangunan Wisma Sejarah ke lokasi baharu yang lebih strategik di MoF Inc. Tower.

USM@KL yang berkeluasan 13,360 kaki persegi ini terletak di Aras 20, MoF Inc Tower, No 9. Persiaran KLCC, 50088 Kuala Lumpur.

Program akademik yang ditawarkan

USM@KL ditubuhkan bagi menawarkan program-program akademik yang kompetitif dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

USM@KL diposisikan sebagai satu pusat yang menawarkan program ijazah tinggi peringkat Sarjana dan Kedoktoran yang relevan kepada warga profesional yang bekerja di Lembah Klang. Malah USM@KL turut menawarkan program joint-degree dalam bidang psikologi klinikal bersama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Senarai program akademik yang ditawarkan adalah seperti berikut:

  1. Sarjana Komunikasi (Komunikasi Pemasaran Bersepadu)/ Master of Communication (Integrated Marketing Communication) – Pusat Pengajian Komunikasi
  2. Sarjana Amalan Pembangunan Lestari/Master in Sustainable Development Practice – Pusat Kajian Kelestarian Global
  3. Sarjana Psikologi (Klinikal)/Master of Psychology (Clinical) – Pusat Pengajian Sains Perubatan (Joint-degree USM-UPSI)
  4. Sarjana Neurosains Kognitif/Master of Cognitive Neurosciences – Pusat Pengajian Sains Perubatan
  5. Sarjana Sains (Pengajaran Matematik)/Master of Science (Teaching of Mathematics) – Pusat Pengajian Sains Matematik
  6. Doktor Psikologi (Neuropsikologi Klinikal)/ Doctor of Psychology (Clinical Neuropsychology) – Pusat Pengajian Sains Perubatan (Joint-degree USM-UPSI)
  7. Doktor Psikologi (Psikologi Klinikal)/Doctor of Psychology (Clinical Psychology) – Pusat Pengajian Sains Perubatan (Joint-degree USM-UPSI)

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa 


Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024