USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEAZAMAN DAN KETABAHAN DALAM PERJUANGAN MENCAPAI IMPIAN

USM PULAU PINANG, 8 Oktober 2023 – Telah menjadi impian setiap belia atau pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading dan menggenggam segulung ijazah, namun tidak semuanya mempunyai nasib yang baik terutamanya dari segi kewangan mahupun sokongan daripada ahli keluarga atau orang terdekat.

Pada Sidang Akademik 2023/2024 ini, Universiti Sains Malaysia (USM), yang menerima seramai 4,696 pelajar baharu, telah membuka pintu impian bagi bakat-bakat muda.

Soh Pao Hui, 19, yang berasal dari Batu Pahat, Johor merupakan antara pelajar baharu bagi Sidang Akademik 2023/2024 yang telah menerima tawaran bagi mengikuti program Ijazah Sarjana Muda (Sepenuh Masa) dan Diploma di USM bagi kesemua saluran kemasukan.

WhatsApp Image 2023 10 08 at 14.08.08

Pao Hui yang merupakan anak tunggal hidup sebatang kara sejak berumur 15 tahun setelah kematian kedua-dua ibu bapanya berkata, dia memilih untuk menetap di rumah peninggalan ayahnya seorang diri dan dari masa ke semasa dia diperiksa oleh ibu saudaranya yang akan memberikannya wang saku serta makanan.

Jelasnya, dia amat bersyukur apabila diterima dalam Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam meringankan bebannya.

“Arwah kedua-dua orang tua saya bekerja sebagai penternak ayam dan kehilangan tempat bergantung apabila mereka meninggal dunia adalah antara faktor yang memotivasikan diri saya untuk terus cekal dan belajar bersungguh-sungguh sehingga saya berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.”

“Saya akan melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi makanan di Pusat Pengajian Teknologi Industri USM dan saya berharap untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil selepas tamat pengajian untuk menyara hidup saya di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, bekas pesakit kanser kelenjar (limfoma) tahap tiga, Alif Haikal Ayob, 19, yang baru mendaftar di USM hari ini berasa amat teruja apabila dapat menjejakkan kakinya ke Menara Ilmu itu dengan menjadikan impiannya selangkah lebih dekat dalam mengecapi cita-citanya sebagai seorang ahli mikrobiologi.

WhatsApp Image 2023 10 08 at 14.08.09

Anak kelahiran Kedah juga seorang anak yatim yang dibesarkan ibunya berkata, dia menghidap penyakit kanser sejak berumur 10 tahun dan pengalamannya keluar masuk hospital kerana penyakit itu telah mendorong dirinya memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi di USM.

“Saya diberi cuti sakit selama enam bulan apabila disahkan menghidap kanser pada tahun 2014 untuk menjalani kemoterapi. Pada tahun 2021, doktor telah mengesahkan saya bebas sepenuhnya daripada penyakit tersebut namun masih perlu menjalani pemeriksaan tahunan agar penyakit berkenaan tidak berulang kembali,” kata Alif.

Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu, harapannya agar anak-anak muda yang sihat di luar sana untuk tidak mengambil mudah dalam kehidupan mereka dan perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam pembelajaran untuk menjamin masa depan yang cerah.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam sidang media khas yang diadakan memperincikan pelbagai inisiatif USM ke arah memperkasa hal ehwal dan kebajikan pelajar, termasuk pengenalan program kenduri rahmah, program SULUNG, pengangkutan percuma, pemberian 3,000 Kit Keperluan Asas dan sebagainya.

WhatsApp Image 2023 10 08 at 14.08.05

Menurut beliau, USM turut prihatin terhadap agenda University Social Responsibility (USR) dengan terus mengekalkan naratif pengambilan ‘bottom billion’ untuk memberi ruang dan peluang kepada calon pelajar daripada golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian di USM.

“Kesemua inisiatif mesra pelajar ini diperkenalkan bagi mewujudkan satu ekosistem yang kondusif, cakna dan prihatin kepada pelajar khususnya dalam kalangan B40 dan OKU,” kata Abdul Rahman.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 443

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024